Pelawat Blog

Artikel 5 - RUKUN-RUKUN AGAMA ( ISLAM, IMAN DAN IHSAN)




RUKUN-RUKUN AGAMA (IMAN, ISLAM DAN IHSAN)

Firman Allah Taala, maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya." (30, Al-Kahf).
"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha memperbaiki amalnya maka ia akan beroleh pahala di sisi Tuhannya .." (112, Al-Baqarah).
"Untuk orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya, dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia .." (26, Yunus).
Hadis Ketiga Belas
 
13- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ. (مسلم)
13 - Dari Umar bin Al Khattab r.a., katanya: Pada suatu hari, dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki:  Putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya; (demikianlah halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi s.a.w. lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata:  "Wahai Muhammad! Beritahulah kepada ku tentang (dasar-dasar) Islam(1)?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadat (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan engkau mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulan Ramadan dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengarkan penerangan Baginda yang demikian) ia berkata:  "Benarlah apa yang tuan katakan itu!" Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu - ia bertanya kepada Baginda dan ia juga mengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyakannya itu). Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang iman(2)?" Nabi s.a.w. menerangkan:  "(Iman itu ialah) engkau beriman kepada Allah,  Malaikat MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, serta Hari Akhirat; dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) - baiknya dan buruknya." (Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu." Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang ihsan(3)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu)(4), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap memerhatikan keadaan mu." Kemudian orang itu bertanya lagi: "(Selain itu) maka beritahulah kepada ku tentang (masa berlakunya) hari qiamat?" Nabi s.a.w. menjawab:  "Orang yang ditanyakan mengenai hal itu bukanlah seorang yang lebih mengetahui dan yang bertanya." Orang itu bertanya lagi: "Jika demikian maka beritahulah kepada ku tentang tanda-tanda kedatangan hari qiamat itu?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Tanda-tanda itu ialah engkau akan dapati) adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya dan engkau akan melihat orang-orang (penduduk desa) yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna,  yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu dengan yang lain dalam perkara membina bangunan-bangunan yang tinggi. " Umar berkata: Kemudian orang itu pun pergilah, maka tinggallah aku beberapa hari (memikirkan halnya dan hendak mengetahui siapa dia).
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, sabdanya: "Wahai Umar! Tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu?" Aku menjawab:  "Allah dan RasulNya jualah yang mengetahui. "
(Pada saat itu) Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Orang itu ialah Jibril, ia datang untuk mengajar kamu akan agama kamu."
(Muslim)
________________________________
(1) "Islam" di sini ialah dengan pengertian yang kedua yang telah diterangkan pada bab yang ketiga.
(2) "Iman" bererti:
Pertama - Percayakan benarnya sesuatu yang tertentu serta sanggup mematuhi apa yang dikehendaki oleh
kepercayaan itu.
Kedua - Segala
jenis amalan taat - hasil dari kepercayaan dan kesanggupan itu.
Ketiga - Perkara-perkara yang diimankan itu; dan iman dengan erti inilah yang dikehendaki di sini.
(3) "Ihsan" di sini maksudnya: Cara mengerjakan sesuatu taat - terutama amal ibadat - dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya serta dengan ikhlas kepada Allah Taala.
(4) Yakni hendaklah engkau lakukan amal ibadat atau taatmu kepada Allah s.w.t. dengan keadaan seolah-olah engkau nampak Ia melihat dan memerhatikan zahir batinmu. kiranya engkau tidak dapat mencapai keadaan itu maka hadirkanlah keyakinanmu bahawa Allah Taala tetap melihat dan memerhatikan mu kerana sesungguhnya Ia sentiasa melihat dan memerhatikan segala keadaanmu.
Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:
(1) Ada kalanya Malaikat pembawa Wahyu - Menyamar diri sebagai seorang manusia.
(2) Iman,  Islam dan Ihsan.
(3) Tanda-tanda kedatangan Qiamat.
Huraiannya:
Pertama - Malaikat Jibril (a.s) ada kalanya menyamar sebagai seorang manusia:
Pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w dihadapi oleh sahabat-sahabatnya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki seperti yang diterangkan dalam hadis ini, lalu bertanya tentang perkara-perkara agama.  Apabila Baginda menjawab pertanyaannya, ia segera mengesahkan benarnya. Ini menjadikan sahabat-sahabat Baginda hairan memikirkan halnya, dia bertanya dan dia pula mengesahkan kebenaran jawapan Baginda.
Kehairanan sahabat-sahabat Nabi itu hilang apabila Baginda sendiri menerangkan pada akhirnya bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril (as.).
Soal Wahyu:
Wahyu adalah satu perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala perkara agama.  Orang yang tidak mempercayai wahyu,  sudah tentu tidak ada kepercayaannya kepada Rasul-rasul utusan Allah, Kitab-kitabNya dan lain-lain lagi yang berhubung dengan iman. Ada orang yang percaya, bahawa junjungan kita Muhammad s.a.w.  seorang pemimpin yang bijak. Jika setakat itu sahaja kepercayaannya terhadap Baginda maka itu belum cukup, selagi dia tidak mempercayai bahawa kebijaksanaan Baginda itu - selain daripada sifat semula jadinya yang istimewa, Baginda pula mendapat wahyu dan pimpinan dan Allah Azza wa Jalla. 
Kedua - Iman,  Islam dan Ihsan berkaitan satu sama lain:
Di antara perkara-perkara yang ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w. ialah soal Iman, Islam dan Ihsan, lalu dijawab oleh Baginda satu persatu. Walau pun pertanyaan itu dibuat satu-satu dengan berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan satu hakikat jua, iaitu "Agama". Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir hadis ini bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril, datangnya untuk mengajar mereka akan "Agama" mereka.
Jelasnya, "Agama" itu jika dipandang dan segi amalan-amalan zahir disebut dengan nama "Islam"; jika dipandangi dari segi kepercayaan dan keyakinan hati disebut dengan nama "Iman"; dan jika dipandang dan segi kesempurnaan cara pelaksanaan dua perkara itu disebut dengan nama "Ihsan".
Tiga perkara yang dipandang dari segi-segi yang berlainan itu tidak harus berpisah antara satu dengan yang lain.
"Agama" itu adalah ibarat sebatang pohon, - Akar umbinya serta usul asalnya bahkan benihnya ialah "Iman"; dan seluruh pohon itu meliputi batangnya, dahannya, rantingnya, daunnya, bunganya dan buahnya ialah "Islam"; manakala kesuburannya, keharumannya, kemanisannya dan seluruh keindahannya ialah "Ihsan".
Dengan huraian ini nyatalah salahnya orang yang menganggap bahawa Iman, Islam dan Ihsan boleh berasingan antara satu dengan yang lain; dan lebih-lebih lagi salahnya orang yang menganggap bahawa Ihsan itu boleh ada atau dapat dilaksanakan dengan ketiadaan Iman dan Islam, kerana ihsan itu ialah sifat bagi keduanya dan sememang maklum bahawa "Sifat" tidak boleh ada dengan ketiadaan "Mausuf" (perkara yang disifatkan).
Islam dan Asasnya yang lima:
Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa salah satu dan pengertian "Islam" itu ialah hukum-hukum dan keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.  dan Allah `Azza wa Jalla.
Hukum-hukum dan peraturan yang tersebut, yang terdiri dari suruh dan tegah,  meliputi segala bidang hidup umat manusia.
Islam yang demikian sifatnya, berasaskan lima perkara - sebagaimana yang diterangkan oleh Baginda dalam hadis mi.
Dari lima asas inilah terbit dan kembali kepadanya segala hukum dalam setiap keadaan umat manusia - dalam alam kehidupan ini.
Asas-asas Islam yang lima itu ialah:
Pertama - Mengakui kebenaran tiap-tiap perkara yang benar dan melafazkan "Kalimah At-Taqwa":
Di antara syarat-syarat bagi mencapai keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah menghormati kebenaran setiap perkara yang benar,  dengan jalan mengakui dan mengamalkannya. Ini dengan sendirinya mewajibkan menolak kesalahan tiap-tiap perkara yang salah.
Oleh kerana sebenar-benar perkara yang benar ialah keesaan Allah Taala Tuhan yang wajib Al-Wujud dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka mengucap dua kalimah syahadat: 
أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله
- Yang ertinya: "Aku meyakini serta menerangkan kebenaran,  bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah" adalah menjadi asas atau "Rukun Islam" yang pertama bahkan menjadi anak kunci bagi seseorang masuk Islam.
Tiap-tiap orang Islam dituntut melafazkan "Kalimah Al-Taqwa" dalam kehidupan sehari-hari.
"Kalimah Al-Taqwa" itu ialah tiap-tiap tutur kata yang memelihara dan menyelamatkan seseorang dan tiap-tiap perkara yang membahayakannya serta mendatangkan manfaat dan kebahagiaan, sama ada di dunia mahu pun di akhirat dan semulia-mulia "Kalimah At-Taqwa" itu ialah:
لا إِلَهَ إِلا الله مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله

Kedua - Menggunakan segala anggota berusaha dan mengerjakan dengan cara yang teratur akan amal-amal bakti sama ada yang diwajibkan atau yang digalakkan untuk diri dan masyarakat, bagi mengenang budi dan mensyukuri nikmat-nikmat,  dengan harapan mencapai kebaikan dan menjauhkan perkara-perkara yang merosakkan, serta dengan sepenuh-penuh kesedaran mengingati Allah dan berdoa kepadaNva memohon taufik dan hidayah-Nya ke jalan yang diredhai-Nya.
Semuanya itu terdapat dalam "Sembahyang", dan dengan ini nyatalah hikmatnya sembahyang itu menjadi asas atau "Rukun Islam" yang kedua, dan dengan ini juga nyatalah tepatnya sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya: "Sembahyang itu tiang agama,  sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama."
(Untuk penjelasan yang lebih lanjut mengenai sembahyang, lihatlah lampiran "B", pada akhir bab ini).
Ketiga - Berkorban dengan Harta Benda:
Harta benda adalah merupakan asas bagi segala urusan hidup dalam dunia ini.  Oleh itu maka sebahagian besar dan daya usaha manusia dicurahkan untuk mencari dan memiliki harta benda dan kekayaan.  Tetapi bukan semuanya berhasil mencapai kesenangan dan kemewahan itu dengan sepenuhnya, bahkan bukan sedikit - dari setiap bangsa di dunia ini - yang hidup miskin dan menderita.
Dengan yang demikian, maka membelanjakan harta benda untuk menolong orang-orang yang fakir miskin dan yang memerlukan bantuan, dan juga untuk kebajikan Islam - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Zakat" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman makmur
Oleh itu, maka nyatalah hikmatnya kewajipan mengeluarkan zakat itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Keempat - Membendung kemahuan hawa nafsu: 
Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas,  sehingga ada yang melupai kehormatan din dan rumahtangga, mencuaikan tugas dan kewajipan,  mengkhianati amanah dan berbagai-bagai perkara jenayah lagi.
Oleh itu, maka kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melarih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Puasa" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa. 
Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Kelima - Menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan:
Manusia tidak seharusnya memencilkan atau mengasingkan dirinya dari sebarang perhubungan dengan sesama manusia.
Banyak perkara yang bersangkut paut dengan hidupnya, dengan agamanya, dengan pentadbiran negara dan masyarakatnya tak dapat diselesaikan melainkan dengan jalan perjumpaan dan perundingan, lebih-lebih lagi melalui persidangan antarabangsa.
Oleh itu, bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, maka menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan sekadar yang mampu, bagi melahirkan sikap memperhambakan diri kepada Allah `Azza wa Jalla, dan bersyukur akan nikmat-nikmatNya, serta melaksanakan dasar bersatu padu dan bersefahaman antara sesama umat Islam dan juga untuk mendapat berbagai-bagai faedah dan manfaat dari segi rohani, akhlak,  kemasyarakatan dan ekonomi - sebagaimana yang terdapat dalam "Ibadat Haji" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman damai dan bahagia.
Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat haji itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Iman dan Asasnya yang enam:
Sebagaimana yang diketahui bahawa Islam yang diterangkan dalam hadis ini bererti: "Mematuhi apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w maka sudah tentu Islam yang bererti: "Kepatuhan yang sebenar-benarnya tidak akan wujud dengan ketiadaan iman atau kepercayaan yang tertentu, kerana: Islam itu adalah ibarat "Pokok", manakala iman pula adalah ibarat !`Benih"; Dan bahawa sebarang gerak-geri yang disengajakan oleh manusia adalah timbulnya dan sesuatu kepercayaan yang tertentu.
Dengan yang demikian, maka salah satu di antara rukun-rukun agama ialah iman atau kepercayaan,  yang berasaskan enam perkara.
Wujudnya Allah Pencipta Seluruh Alam: 
Sebagaimana yang sedia maklum, manusia yang waras akal fikirannya memang sedar bahawa wujudnya adalah diciptakan oleh Allah Maha Pencipta dan sebagaimana Ia sedar bahawa segala keadaan dan perjalanan dirinya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta itu, ia juga sedar bahawa dirinya tersusun dan jisim dan roh. 
Undang-undang dan peraturan yang disedarinya menguasai keadaan dan perjalanan dirinya itu hanyalah untuk keselamatan jisimnya apabila ia mematuhinya dengan sempurna,  maka sudah tentu bagi rohnya pula wajiblah ia mematuhi dengan sempurna akan undang-undang dan peraturan yang dikhaskan oleh Maha Pencipta untuk keselamatan roh. 
Dengan yang demikian, ia sudah tentu mempercayai adanya Maha Pencipta - iaitu Allah Taala - yang menciptakan diri manusia dan menciptakan undang-undang serta peraturan jasmani dan rohaninya
Adanya Malaikat:
Undang-undang dan ilmu-ilmu jasmani boleh dicari dan dikaji oleh manusia,  tetapi undang-undang dan peraturan rohani iaitu "Hukum-hukum Syarak" tidak akan dapat diketahui melainkan dengan jalan diterima dari Allah Taala dengan perantaraan Malaikat Wahyu,  kerana menurut keadaan semula jadinya, manusia tidak dapat menerima hukum secara langsung dari Allah S.W.T. kecuali Rasul-rasul pilihan,  itupun pada keadaan yang tertentu.
Adanya Kitab-kitab Allah: 
Hukum-hukum dan peraturan yang disampaikan oleh Malaikat Wahyu itu ditulis sebagai sebuah kitab untuk dibaca dan dipelajari serta diamalkan oleh umat manusia.
Adanya Rasul-rasul Allah: 
Sememang maklum bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang semestinya oleh kebanyakan manusia,  maka Allah Taala yang Amat Bijaksana telah memilih orang yang diketahuiNya layak menjadi penyampai dan pensyarah yang menerangkan undang-undang itu satu persatu dan pensyarah itu ialah Rasul-rasulNya.
Adanya Alam Akhirat: 
Sesuatu undang-undang atau perlembagaan tidak akan ada nilainya kalaulah tidak dihormati dan dipatuhi.
Kebanyakan manusia tidak menghormati sesuatu undang-undang atau perlembagaan melainkan setelah mengetahui balasan baik bagi orang yang menghormati dan mematuhinya dan balasan buruk bagi orang yang mencabuli dan mencuaikannya.
Oleh sebab hidup manusia dalam alam dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja maka balasan yang sepenuh-penuh kesempurnaannya dan seadil-adil keadaannya tentulah tidak difikir layak diberikan seseorang menerimanya dalam alam sementara ini, bahkan bagi melayakkan yang tersebut, diakui benar adanya satu alam yang berpanjangan lagi kekal iaitulah "Alam Akhirat" - Alam yang bermula dan masa berakhir hidup manusia dalam alam dunia ini. 
Tambahan pula manusia dijadikan Allah tersusun dari jisim dan roh yang tidak akan habis atau binasa dengan berakhirnya alam dunia ini sekalipun jisimnya menjadi debu atau abu, bahkan roh itu tetap wujudnya berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan hingga bercantum dengan tubuhnya yang dibangkitkan hidup semula untuk masa yang kekal itu.
Adanya Qadar dan Taqdir Allah:
Dari huraian-huraian yang tersebut, nyatalah bahawa Allah S.W.T. ialah pencipta seluruh alam meliputi manusia dan makhluk-makhluk yang lain dan Dialah yang menyusun, mengatur dan menentukan hukum-hukum, undang-undang dan peraturan,  bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama ada yang baik atau yang buruk. 
Maka susunan dan penentuan ada nya dan berlakunya baik dan buruk itu ialah "Qadar Taqdir" tuhan yang azali,  yang menjadi "Rukun Iman" yang akhir.
Ihsan dan Peringkat-peringkatnya:
Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa "Ihsan" ialah cara mengerjakan sesuatu taat dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya, serta dengan ikhlas kepada Allah Taala, iaitu bersih dari syirik dan sikap munafik serta bersih dan perasaan riak,  ujub dan lain-lainnya.
Yang demikian ini ialah hakikat Ihsan yang menjadi salah satu dari "Rukun-rukun Agama" yang tiga, yang dengan ketiadaannya maka yang dua lagi - Iman atau Islam - tidak diterima,  kerana taat yang dikerjakan dengan ketiadaan Ihsan adalah ibarat patung yang tidak bernyawa.
Ini ialah peringkat Ihsan yang pertama, yang mesti diusahakan oleh tiap-tiap seorang.
Selain dari itu, ada dua peringkat lagi iaitu yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini.
Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat:
Oleh kerana hikmatnya Allah Taala menjadikan jin dan manusia serta makhluk-makhluk yang lain ialah untuk masing-masing membuktikan taat setianya dan penghormatannya dengan mengerjakan amal ibadat kepadaNya, maka untuk membicarakan dan membalas ketaatan dan kederhakaan tiap-tiap makhluk,  sudah tentu adanya satu masa yang ditetapkan untuk tujuan yang demikian, iaitu "Hari Qiamat".
Oleh sebab itulah si penanya bertanya kepada Baginda tentang waktu kedatangan hari Qiamat itu, akan tetapi oleh kerana soal waktu kedatangan hari Qiamat itu adalah satu dari lima perkara yang pengetahuannya tertentu bagi Allah jua, maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:  "Orang yang ditanyakan soal itu samalah sahaja dengan orang yang bertanya, tetapi aku akan menerangkan tanda-anda kedatangannya", lalu Baginda menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis ini.
Selain dari yang diterangkan dalam hadis ini, ada didapati dalam kitab-kitab hadis yang lain banyak lagi tanda-tanda tentang hampirnya kedatangan hari Qiamat, di antaranya:
Pertama - Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang alim yang ahli dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti
Kedua - Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang-orang yang suka mempelajarinya.
Ketiga - Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti jawatan ketua negara, mufti,  kadhi dan sebagainya, untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.
Keempat - Apabila sesuatu masyarakat dipimpin oleh seseorang ketua yang fasik yang suka menggalakkan maksiat dan perbuatan yang durjana.
Kelima - Apabila orang yang benar dikatakan pendusta, pendusta dikatakan orang yang benar;  orang yang khianat disifatkan amanah,  orang yang amanah dikatakan khianat;  orang yang adil disifatkan zalim,  orang yang zalim disifatkan adil dan orang-orang yang jahil berpengaruh dan bermaharajalela dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehingga orang alim terpaksa mendiamkan diri (setelah tugasnya tidak lagi dihargai).
Keenam - Apabila arak menjadi adat diminum berterang-terang di sana sini, dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua. 
Ketujuh - Apabila perbuatan lucah dan cabul dilakukan dengan berterang-terang di merata-rata tempat dengan tidak mendapat sebarang teguran kerana kelemahan iman,  sehingga kalaulah ada yang menegur maka orang yang menegur itu boleh dikatakan imannya pada masa itu sekuat iman Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pada zaman sahabat-sahabat Nabi s.a.w.
Lampiran (B):
Soal Sembahyang:
Mengenai sembahyang, Sayidina Umar r.a., berkata - Sebagaimana yang tersebut dalam kitab Al-Muwatta': Sesiapa memelihara sembahyang dan tetap mengerjakannya, bererti ia memelihara agamanya dan sebaliknya sesiapa yang mensia-siakannya maka ia lebih-lebih lagi akan mensia-siakan kewajipan-kewajipan agama yang lain".
Sebenarnya sembahyang itu tiang agama dan semulia-mulia asas Islam yang lima sesudah Dua Kalimah Syahadat. 
Kedudukan sembahyang dalam agama menyamai kedudukan kepala pada tubuh badan; oleh itu, sebagaimana seseorang yang tidak berkepala tidak akan hidup, maka demikian juga tidak ada agama bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang.
Dalam kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata'illah berkata:  Sembahyang amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat;  dan kerana itulah Allah Taala berfirman, maksudnya; "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar" dan Rasulullah s.a.w. pula ketika ditanyakan tentang amal yang semulia-mulianya, Baginda menjawab,  maksudnya: "(Semulia-mulia amal) ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya".
Baginda juga bersabda maksudnya: "Orang yang mengerjakan sembahyang adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sehampir-hampir seseorang hamba itu kepada Tuhannya ialah semasa ia sujud."
Sebagaimana yang dapat disaksikan,  bahawa dalam sembahyang terhimpun berbagai-bagai jenis ibadat yang tidak ada pada lainnya. Di antara ibadat-ibadat yang terhimpun dalam sembahyang ialah: Bersuci, berdiam diri, mengadap kiblat,  membaca doa iftitah, membaca Al-Qur'an, berdiri rukuk,  sujud,  bertasbih dalam rukuk dan sujud,  berdoa dalam sujud dan lain-lainnya, yang merupakan himpunan ibadat yang berbilang-bilang; kerana zikir sahaja adalah ibadat dan bacaan Al-Qur'an sahaja adalah ibadat;  demikian juga halnya Tasbih, doa,  rukuk dan sujud; tiap-tiap satunya adalah menjadi ibadat. " Demikian kata Ibnu 'Ata'illah dalam "At-Tanwir."
Perintah-perintah mengenai sembahyang, memeliharanya dan keadaannya menjadi sifat dan syi'ar orang-orang yang beriman,  banyak sekali diterangkan di dalam Al-Qur'an al-Karim. Di antaranya firman Allah Taala, maksudnya:
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembah yang fardu,  khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembah yang kamu) dengan taat dan khusyuk. " (238, Al-Baqarah).
"Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik." (33, Ar-Rum).
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,  iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. " (1-2, Al-Mu'minun).
"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) ..." (45, Al-'Ankabut).
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman,  yang tertentu waktunya." (103, An-Nisa).
Sembahyang yang lima waktu ini yang dikerjakan sehari semalam, tidak boleh sama sekali bagi seseorang yang mengakui dirinya Islam dan menghitung dirinya dalam barisan umat Islam meninggalkan satu waktu pun, dalam segala keadaan,  selagi ia masih sempurna akalnya, sekalipun ia sakit tenat. Kalau ia tak dapat berdiri sembahyang kerana uzur, ia boleh sembahyang duduk;  jika tidak dapat, ia boleh sembahyang dengan berbaring - dengan mengiring ke sebelah kanan atau ke kiri atau pun dengan terlentang.
Di dalam Al-Qur'an al-Karim diberi amaran mengenai orang-orang yang mencuaikan sembahyang. Tentang ini Allah Taala berfirman, maksudnya:
"Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka,  - "Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal salih .." (59-60, Maryam).
Dalam huraiannya, Ibnu Abbas berkata - seperti yang disebutkan oleh al-Syams al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: Bahawa "Mencuaikan sembahyang" yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi maksudnya mereka mentakhirkan (melengahkan) sembahyang sehingga keluar waktunya.
Hal ini dijelaskan oleh Said bin Al-Musayib, dengan menyatakan bahawa maksudnya: Orang itu tidak sembahyang Zuhur melainkan setelah masuk waktu Asar, (dan seterusnya tentang waktu-waktu yang lain). Maka sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan ia tidak bertaubat,  maka balasan yang ditetapkan baginya ialah azab seksa di dalam neraka.
Firman Allah lagi, maksudnya: "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang yang keadaan mereka lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya" (4-5, Al-Ma'uun).
Yakni yang lalai dari mengerjakannya pada waktunya, lalu dijanjikan kepada mereka dengan balasan yang seburuk-buruknya di dalam neraka,  kecuali orang yang bersifat demikian segera bertaubat dan menyesal terhadap perbuatannya itu.
Dan firmannya lagi, maksudnya: "Wahai orang-Orang yang beriman!  Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah!) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. " (9, Al-Munafiqun).
Menurut sebahagian dan ahli tafsir,  "Mengingati Allah" (zikir Allah) di sini ialah "Sembahyang yang lima waktu"; maka sesiapa yang mencuaikannya kerana dilalaikan oleh harta bendanya, anak pinaknya dan segala urusan hidupnya, menjadilah ia dan orang-orang yang rugi serugi-ruginya.
Di dalam hadis-hadis pula ada diterangkan tentang setakat mana beratnya kewajipan sembahyang itu. Di antaranya Baginda bersabda, maksudnya: "Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengenakan sembahyang, oleh itu sesiapa yang tidak sembahyang maka sesungguhnya termasuklah ia dalam hukum orang kafir. "
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Perkara yang menghubungkan seseorang dengan kufur ialah meninggalkan sembahyang. "
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang cuai sehingga ia terlepas dari mengerjakan sembah yang Asar pada waktunya, maka sesungguhnya telah binasalah amalnya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja,  maka sesungguhnya terlepaslah ia dari jaminan Allah menyelamatkannya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang memelihara sembahyang dengan sebaik-baiknya, nescaya sembahyang itu menjadi cahaya baginya dan menjadi bukti serta penyelamat baginya pada hari Qiamat; dan sesiapa yang mencuaikannya, maka semuanya itu tidak akan diperolehinya, dan ia akan dihimpunkan pada hari Qiamat bersama-sama dengan Fir'aun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf."
Menurut penjelasan setengah ulama, bahawa sebabnya orang yang tersebut dihimpunkan bersama-sama empat orang (jaguh kekufuran) itu ialah: Kerana yang melalaikannya dan menunaikan sembahyang tidak lain melainkan hartanya, atau kerajaannya (jika Ia seorang pemegang teraju pemerintahan), atau jawatannya sebagai menteri, atau pun perniagaannya. Kalau hartanya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Qarun; kalau kerajaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Fir'aun; kalau pula jawatannya sebagai menteri yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Haman (menteri Fir'aun); dan kalau pula perniagaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Ubai bin Khalaf (saudagar kaum Musyrik Mekah).
Dalam satu hadis lagi, bahawa Sayidina Umar, r.a., berkata:  Seseorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu bertanya, katanya: "Ya Rasulullah,  apakah satu-satunya amal dalam Islam yang lebih diperkenankan oleh Allah Taala?" Baginda menjawab:  "Ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya, dan sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka tidak ada agama baginya, kerana sembahyang itu tiang agama. "
Dalam satu hadis yang lain, Baginda bersabda, maksudnya: "Apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada awal waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit serta ia bercahaya sehingga ia sampai kepada `Arasy lalu ia meminta ampun bagi orang yang mengerjakannya. (Demikianlah hal sembahyang itu) hingga hari Qiamat sambil ia berkata: "Semoga Allah memelihara mu sebagaimana engkau memelihara ku"; dan apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada luar waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit dengan diselubungi oleh gelap gelita, setelah sampai di langit lalu digulung seperti tergulungnya baju buruk dan dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya sambil sembahyang itu berkata (kepada tuannya): "Semoga Allah mensia-siakan mu sebagaimana engkau mensia-siakan aku"

Orang yang mengerjakan sembahyang dengan tidak sempurna amatlah buruk balasannya:
Dalam satu hadis yang diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk (seperti ayam) semasa ia sujud, lalu Baginda bersabda, maksudnya: "Kalau orang itu mati dalam keadaannya yang demikian, nescaya ia mati dengan ketiadaan Islam...."
Dalam satu hadis lagi ada diterangkan, maksudnya: "Seseorang itu tidak akan beroleh pahala dari sembahyangnya melainkan mana-mana yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran.  Setengah orang yang mengerjakan sembahyang ada kalanya tidak mendapat seperenam dari pahala sembahyangnya dan tidak sepersepuluh." Yakni ia hanya mendapat pahala bagi bahagian sembahyang yang tertentu yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran serta khusyuk.  Orang yang penuh sedar dan khusyuk di sepanjang-panjang sembahyangnya maka ia beroleh pahala bagi seluruh sembahyangnya itu dan sebaliknya orang yang lalai di sepanjang-panjang sembahyangnya hampalah dia dari mendapat sebarang pahala mengenainya.
Orang mukmin yang menaruh belas kasihan kepada dirinya sendiri dan mencintai agamanya, adalah bertanggungjawab mengambil berat menyuruh dan mengajar ahli rumah dan anak pinaknya supaya mereka tetap memelihara dan mengerjakan sembahyang.
Kewajipan ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam Al-Qur'an al-Karim dengan firmanNya yang bermaksud: 
"Dan perintahkanlah keluarga mu mengeriakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya...." (132, Taha).
Dan firmannya lagi; maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala) (6, At-Tahrim).
Nabi s.a.w. sendiri setelah ayat ini turun,  sentiasa mengambil berat mengingatkan dan mengawasi keluarganya mengenai sembahyang. Bahkan Baginda dan keluarganya apabila menghadapi apa-apa kesukaran,  lazimnya Baginda dan keluarganya mengerjakan sembahyang banyak-banyak.
Cara yang demikian ini juga menjadi amalan Nabi-nabi yang telah lalu - (as.).
Kerana tidak syak lagi, sembahyang itu menjadi sebab yang membawa rahmat,  murah rezeki dan menolak bala' bencana.

Artikel 4 - KELEBIHAN-KELEBIHAN AGAMA ISLAM

KELEBIHAN-KELEBIHAN AGAMA ISLAM

Firman Allah Taala, maksudnya: " .. dan aku telah redhakan Islam menjadi agama untuk kamu .. (3, Al-Maidah).
 
Hadis Kesepuluh
 
 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ الْقِصَاصُ الْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا. (البخاري)
10 - Dari Abi Sa'id Al-Khudri ra., bahawa ia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang itu memeluk Islam,  lalu ia mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), Allah akan mengampunkan tiap-tiap kejahatan yang telah dilakukannya dahulu (sebelum Islam) dan sesudah itu dijalankanlah balasan (bagi segala amalnya) - tiap-tiap satu kebaikan (akan dibalas) dengan sepuluh kali gandanya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan (akan dibalas) dengan satu kejahatan yang menyamainya, kecuali jika Allah mengampunkannya."
(Bukhari)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Setiap orang yang masuk Islam dengan sebenar-benarnya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
(2) Sesudah ia masuk Islam, baharulah ia akan diberi balasan menurut ketetapan yang tertentu.
(3) Balasan orang yang berdosa,  terserah kepada Allah. 
Huraiannya:
Pertama - Soal orang kafir masuk Islam:
Tiap-tiap perbuatan yang dikerjakan dan kepercayaan yang dii'tikadkan oleh seseorang tetap dikira baik dan buruknya, atau pahala dan dosanya.
Tetapi orang kafir apabila masuk Islam, maka segala bawaannya meliputi perbuatan dan kepercayaan yang dilakukannya sebelum itu diampunkan dan bersihlah ia dari menanggung sebarang dosa. 
Kedua - Balasan amalnya yang dilakukan setelah memeluk Islam: 
Sesudah itu dijalankan semula hitungan tentang kepercayaan dan amal-amal yang dilakukannya, juga tentang dosa dan pahalanya, iaitu tiap-tiap satu amal kebajikan yang dikerjakannya apakala sempurna syaratnya diberi balasan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda, menurut kesempurnaan amal-amal itu dan keikhlasan orang yang mengerjakannya.
Sebaliknya tiap-tiap satu amal kejahatannya - jika dikehendaki Allah - dibalas dengan hanya satu kejahatan yang sama dengannya.
Ketiga - Balasan orang yang berdosa: 
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan satu hakikat bahawa orang yang melakukan dosa tak boleh ditentukan balasan buruknya, kerana hal itu terserah kepada Allah Azza wa jalla. 
Oleh yang demikian, tidak harus bagi seseorang menentukan balasan buruk kepada orang yang mati dalam maksiat. 
Dengan ini tertolaklah pegangan puak yang menetapkan balasan neraka kepada orang yang melakukan dosa besar dan pegangan puak yang mengatakan bahawa orang yang berdosa besar,  terkeluar dan Islam; juga tertolaknya kepercayaan puak yang menetapkan bahawa orang yang berdosa besar itu kekal dalam neraka. 
 
Hadis Kesebelas
 
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ إِسْلَامَهُ فَكُلُّ حَسَنَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَكُلُّ سَيِّئَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِمِثْلِهَا. (البخاري)
11 - Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keIslamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebaikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya."
(Bukhari)
Hadis yang kesebelas ini mengandungi tentang:
Nilaian Islam terhadap kebajikan dan kejahatan: 
Huraiannya:
Islam memang ada kelebihannya dengan sifatnya agama yang sah di sisi Allah. Di antara kelebihan-kelebihan Islam ialah tiap-tiap satu amal yang baik diberi balasan sekurang-kurangnya dengan sepuluh kali ganda. Kelebihan ini tidak dapat dicapai dengan pengakuan mulut semata-mata, atau dengan sebab keturunan Islam sahaja, tetapi dicapai hanya dengan amal-amal yang baik,  yang sempurna lagi ikhlas untuk beroleh keredhaan Allah `Azza wa Jalla.
Bagi orang yang baru masuk Islam, sebagaimana yang diterangkan perihalnya dalam hadis yang kesepuluh, hendaklah - selain daripada tetapnya mematuhi Islam - masuknya dengan tujuan mencari keredhaan Allah semata-mata, bukan kerana tujuan yang lain.
Bagi orang-orang yang berketurunan Islam pula, hendaklah mereka tetap mematuhi Islam, dan mengerjakan ajaran-ajaran Islam dengan sempurna dan ikhlas!  Dengan yang demikian baharulah Islamnya itu dinilai oleh Allah Taala dan diberi balasan yang berganda-ganda.
 
Hadis Kedua Belas
 
 عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ. (البخاري ومسلم)
12 - Dari Ubadah bin As-Samit r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang meyakini serta menerangkan kebenaran bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah hambaNya dan RasulNya dan bahawa sesungguhnya Nabi Isa ialah hamba Allah dan anak hambaNya (Mariam) serta RasulNya dan (Nabi Isa juga ialah "Kalimah Allah"(1) yang telah disampaikan kepada Maryam dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya(2) dan (bahawa) Syurga (yang dijanjikan) itu benar dan Neraka (yang dijanjikan) itu benar,  nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dengan apa sahaja keadaan amalnya."
(Bukhari dan Muslim)
__________________________
(1) "Kalimah Allah" yakni Nabi Isa (a.s.) dijadikan oleh Allah Taala tidak berbapa, hanya dengan kalimah "Kun" ertinya: "Jadilah engkau" maka menjadilah ia.
(2) Yakni bahawa Nabi Isa (a.s.) dikandungkan oleh ibunya: Siti Maryam yang masih gadis hanya dengan tiupan "Roh Al-Qudus" (Malaikat Jibril) yang datang kepadanya dengan perintah Allah `Azza Wa Jalla, meniupkan benih ke dalam rahimnya.
Kandungan hadis yang kedua belas ini menerangkan: 
(1) Keyakinan dan penerangan yang dengannya seseorang tetap dimasukkan ke dalam Syurga. 
(2) Islam menentang fahaman-fahaman sesat. 
Huraiannya:
Pertama - Keyakinan dan Penerangan: 
Untuk mendapat balasan baik dari Allah s.w.t. dan perlindungan dari azabNya, maka tak dapat tidak seseorang itu mestilah melafazkan kalimah syahadat iaitu menerangkan keyakinannya tentang keesaan Allah,  kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan menerangkan keyakinannya bahawa Nabi Isa (a.s.): Hamba Allah dan RasulNya, juga menerangkan keyakinannya tentang adanya balasan Syurga dan Neraka. 
Maka sesiapa mati dengan berpegang teguh kepada i'tikad yang demikian nescaya tetaplah ia menjadi ahli Syurga. Dalam pada itu kalaulah ia seorang yang mengerjakan perkara-perkara yang diwajibkan dan menjauhkan diri dari segala yang diharamkan, maka ia akan terus masuk Syurga;  kalau tidak maka perkaranya terserah kepada Allah - jika Allah kehendaki diazabkannya menurut dosa-dosa dan kecuaiannya, kemudian dimasukkan dia ke dalam Syurga dan jika Allah kehendaki diampunkannya dan dimasukkan dia ke dalam Syurga.
Kedua - Menentang fahaman Sesat: 
Hadis Rasulullah s.a.w. ini menerangkan asas kepercayaan Islam yang menolak bulat-bulat kepercayaan dan fahaman:
(1) Orang-orang Kristian yang mengatakan kononnya Nabi Isa anak Tuhan. 
(2) Orang-orang Yahudi yang mengingkari kerasulan Nabi Isa. 
(3) Puak-puak yang mengatakan tidak ada Syurga dan Neraka.

Artikel 3 - AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH IALAH ISLAM

AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH IALAH ISLAM

Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya agama(1) yang diredhai Allah ialah Islam(2) ..." (19, Ali Imran).
"Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya .." (85, Ali Imran).
_________________________
(1) Agama:  Ialah undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia mendapat - dengan sebabnya - nikmat yang sebenar dan kebahagiaan yang kekal.
(2) Islam: Dipakai dengan erti:
Pertama - Mematuhi segala perkara yang disampaikan dan diterangkan oleh
Rasulullah s.a.w., seperti yang tersebut pada Ayat 19, surah Ali Imran.
Kedua - Hukum-hukum
syarak dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., seperti yang tersebut pada Ayat 85, Surah Ali Imran.
Ketiga -
Agama yang dibawa dan disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Seperti yang tersebut pada Ayat 3, Surah Al-Maidah, yang maksudnya: "Dan aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."
Hadis Ketujuh
7- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى. (البخاري)
7 - Dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sekalian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Ya Rasulullah,  siapakah orang yang enggan itu?" Baginda menjawab:  "Sesiapa yang taat kepada ku akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah enggan." (Bukhari)
Hadis yang ketujuh ini mengandungi:
(1) Manusia wajib mematuhi satu undang-undang yang tertentu.
(2) Kepatuhan yang sempurna kepada undang-undang itu sahajalah yang menyebabkan kebahagiaan seseorang di dunia dan di akhirat.
Huraiannya
Pertama - Manusia dan Undang-undang yang diwajibkan mematuhinya:
Sebagaimana yang diketahui dan disaksikan bahawa segala jenis makhluk dalam alam kehidupan ini - untuk kesempurnaan keadaannya - tak dapat tidak mematuhi undang-undang yang dikhaskan baginya, maka manusia sebagai makhluk yang tersusun dari jasmani dan rohani sudah tentu wajib mematuhi satu undang-undang yang khas untuk rohaninya selain dari wajibnya mematuhi undang-undang jasmaninya.
Undang-undang itu ialah Islam (hukum-hukum syarak dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh utusan Tuhan).

Kedua -
Kepatuhan yang sempurna dan balasannya:

Tiap-tiap amal meliputi kepercayaan,  tutur kata dan perbuatan - ada balasan yang sesuai dengannya, sama ada baik atau sebaliknya; dan segala kesenangan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat adalah hasil dari kepatuhan (Islam) yang sempurna dalam mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang.
Oleh kerana kesenangan dan kebahagiaan sejati hanya terdapat di akhirat, maka balasan syurga dan segala nikmat di dalamnya hendaklah menjadi harapan yang utama kepada setiap orang dengan mematuhi ajaran Islam.

 
Hadis Kelapan
8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ أَطَاعَ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ عَصَى الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي. (البخاري ومسلم)
8 - Dan dari Abu Hurairah juga, dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang taat kepada ku maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah,  dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah,  dan (selain itu) sesiapa yang taat kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah taat kepada ku dan sesiapa yang derhaka kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada ku .."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelapan ini menyatakan bahawa:
Taat kepada Rasulullah s.a.w. dan taat kepada pemerintah bererti taat kepada Allah.
Huraiannya:
Sebagaimana yang diterangkan bahawa di antara pengertian-pengertian Islam ialah taat atau mematuhi hukum Allah. Oleh kerana hukum-hukum itu dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan dijalankan oleh pemerintah serta pemerintah-pemerintah itu pula mengadakan hukum-hukum dan peraturan yang tidak berlawanan dengannya, maka taat kepada Rasulullah s.a.w dan kepada pemerintah itu bererti taat yang membawa keredhaan Allah. Sebaliknya menderhaka kepada Rasul dan pemerintah yang bersifat demikian, bererti kederhakaan yang menyebabkan kemurkaan Allah.
Oleh itu, maka orang yang berakal siuman,  sudah tentu berusaha menjauhi dirinya dan segala apa jua yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan tidak ada jalan yang lain melainkan mematuhi ajaran-ajaran Islam. 
Hadis Kesembilan
9- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَتَجِيءُ الصَّلَاةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّلَاةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ فَتَجِيءُ الصَّدَقَةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّدَقَةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الصِّيَامُ فَيَقُولُ أَيْ يَا رَبِّ أَنَا الصِّيَامُ فَيَقُولُ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكَ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنْتَ السَّلَامُ وَأَنَا الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ بِكَ الْيَوْمَ آخُذُ وَبِكَ أُعْطِي. (الإمام أحمد)
9 - Dan dari Abu Hurairah juga, katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), - di antaranya sembahyang datang lalu berkata:  "Ya Tuhanku!  Akulah sembahyang"; Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik,  (tetapi engkau sahaja belum cukup)"; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): "Tujuan engkau itu baik,  tetapi engkau sahaja belum cukup)"; kemudian datang pula Islam lalu berkata:  "Ya Tuhanku!  Enqkaulah Tuhan yang bernama: As-Salam dan akulah: "Islam"; maka Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah juga aku memberi balasan".
(Imam Ahmad)
Hadis yang kesembilan ini menyatakan bahawa:
Amal-amal: Sembahyang, zakat, puasa dan lain-lainnya, datang pada hari qiamat untuk menolong yang mengerjakannya. Islam juga datang dan dengan Islamlah dinilai segala amal.
Huraiannya:
Keadaan Amal-amal yang baik pada hari Qiamat:
Segala yang berlaku pada hari qiamat, seperti kebangkitan manusia hidup semula dan balasan amal-amal masing-masing, keadaan syurga dan neraka dan lain-lainnya adalah perkara-perkara yang diterangkan perihalnya oleh Allah dan RasulNya; segala yang diterangkannya itu adalah benar belaka, tetap berlaku, sama ada manusia meyakininya atau tidak.
Apa jua yang akan berlaku pada hari qiamat tidak harus diukur dengan perkara-perkara biasa yang berlaku dalam dunia ini,  kerana segala yang berlaku dalam alam akhirat adalah berlainan sama sekali keadaannya.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan bahawa pada hari qiamat kelak, amal-amal: Sembahyang, zakat,  puasa dan lain-lainnya, masing-masing datang mengadap ke hadrat Allah `Azza wa Jalla dengan tujuan hendak memohon syafaat (pertolongan) bagi orang yang mengerjakannya.
Allah Taala memuji tujuan baik tiap-tiap amal itu dan menerangkan kepadanya, bahawa itu sahaja belum cukup dan belum tentu lagi dapat memberikan pertolongan selagi masing-masing belum dinilai tentang sahnya dan sempurnanya.
Setelah itu datanglah Islam mengadap Allah Taala dan memujiNya. Tujuan kedatangannya, juga untuk memohonkan syafaat pertolongan bagi orang yang mengerjakan amal dengan mematuhinya.
Allah Taala memuji tujuan Islam yang baik itu dan menegaskan bahawa dengan adanya Islam yang sempurna pada tiap-tiap amal yang dikerjakan maka Allah menerima amal itu serta membalasnya dengan balasan yang sesuai dengannya.

Artikel 2 - WAJIB BERPEGANG TEGUH KEPADA KITAB ALLAH DAN MENGIKUT JALAN PIMPINAN RASULULLAH S.A.W.

WAJIB BERPEGANG TEGUH KEPADA KITAB ALLAH DAN MENGIKUT JALAN PIMPINAN RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala, maksudnya: "Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah Al-Qur'an .. (103, Ali-Imran).
".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).
Hadis Ketiga
3- عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ مَنْ اتَّبَعَهُ كَانَ عَلَى الْهُدَى وَمَنْ تَرَكَهُ كَانَ عَلَى ضَلَالَةٍ. (مسلم)

3 - Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. " (Muslim)
Hadis yang ketiga ini mengandungi:
(1) Kitab Allah ialah jalan perhubungan seseorang dengan Allah. 
(2) Nasib seseorang bergantung kepada mengikut atau tidaknya akan kitab Allah. 
Huraiannya:
Pertama - Kitab Allah Al-Qur'an Al-Karim:
Allah S.W.T. Tuhan pencipta alam seluruhnya dan pencipta manusia khasnya. Manusia tidaklah seperti keadaan kayu dan batu, dan tidaklah seperti keadaan haiwan-haiwan yang lain, tetapi manusia adalah sejenis makhluk yang kejadiannya tersusun dari jasmani dan rohani, serta berkeadaan dengan sifat-sifat istimewa berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu maka tak patut manusia hanya tinggal manusia,  tidak lebih dari itu, bahkan wajiblah ada perhubungannya dengan Allah penciptanya; maka jalan perhubungan seseorang dengan Allah itu tidak lain melainkan Al-Qur'an al-Karim. Di dalam Al-Qur'an ada keterangan-keterangan, ada tunjuk ajar untuk seseorang mencapai keselamatan;  ada yang berupa suruhan, ada yang berupa larangan,  sama ada dalam bahagian ibadat,  mahu pun dalam bahagian bidang-bidang kehidupan, yang wajib dipatuhi, di mana seseorang itu berada dan dalam zaman mana ia hidup, hingga hari kiamat. 
ltulah sebabnya Al-Qur'an itu disifatkan dengan "Tali Allah" yang teguh kukuh, sesiapa yang berpegang dengannya selamatlah dia, dan sesiapa yang mencuaikannya binasalah dia.
Kedua - Nasib seseorang dalam alam kehidupan:
Perkara nasib sentiasa dipersoalkan oleh setiap orang dalam setiap masa,  lebih-lebih lagi dalam zaman sains dan teknologi mi. Mereka berusaha, mereka bertindak dengan tujuan membaiki dan membela nasibnya.
Tetapi walau bagaimanapun, nasib yang mereka maksudkan itu tidak lebih dari nasib dalam kehidupan dunia sahaja, katalah tentang senang atau susah,  atau lain-lain lagi; semuanya setakat dalam dunia,  dengan tidak memandang kepada akhirat - alam kesudahan masing-masing; dan semuanya mengikut ukuran lahir semata-mata dengan tidak memandang kepada nilaian akhlak dan peri kemanusiaan;  maka dengan sebab itulah dalam berusaha untuk membaiki dan membela nasib kerapkali berlaku pencerobohan terhadap nasib orang lain, atau menyentuh maruah diri sendiri atau diri orang lain.
Adapun nasib yang dimaksudkan oleh agama ialah nasib yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat sama,  sedang manusia dengan fikirannya sendiri hanya dapat mengetahui perkara jasmani dalam dunia ini,  itupun kadarnya sangat terbatas; pada hal hakikat manusia bukanlah jasmani sahaja bahkan jasmani dan rohani sama;  maka manusia walaupun seberapa bijak fikiran mereka tak dapat mengetahui dengan sahnya perkara rohani itu, lebih-lebih lagi perkara alam akhirat. 
Dengan yang demikian, maka untuk membaiki nasib dan mencapai kebahagiaan dunia akhirat, wajiblah seseorang itu menurut ajaran kitab Allah dan menjauhkan diri dan segala larangannya.
Hadis Keempat
4- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك)
4 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).
(Imam Malik).
Hadis yang keempat ini mengandungi:
(1) Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal abadi. 
(2) Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia.
Huraiannya:
Pertama - Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w.:
Baginda tidak meninggalkan harta benda yang menjadi pusaka kepada waris-warisnya. Sebagai seorang Rasul,  Baginda diberi mukjizat-mukjizat yang membuktikan kerasulannya dan mukjizat-mukjizat itu habis apabila lalu masanya, tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat,  yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman. 
Peninggalannya itu ialah "Kitab Allah Al-Qur'an" yang diwahyukan kepadanya dan "Sunnah"nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya).
Kedua - Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia: 
Jaminan keselamatan yang diberi melalui "Kitab Allah" dan "Sunnah RasulNya itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami;  tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki.
Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.
Hadis Kelima
5- عَنْ الْعِرْبَاضِ بْنِ سَارِيَةَ قَالَ وَعَظَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا بَعْدَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ رَجُلٌ إِنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ يَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَعَلَيْهِ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ. (الترمذي) وعند أبي داود: "وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ".
5 - Dari Al-'Irbaadh bin Sariyah, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menasihati dan mengingati kami, pada suatu hari lepas sembahyang Subuh,  dengan satu nasihat dan peringatan yang sangat-sangat mendalam dan berkesan, yang menjadikan (Pendengar-pendengarnya) menitiskan air mata dan menjadikan hati (mereka) gerun gementar. Lalu berkatalah salah seorang lelaki (di antara kami): "Sesungguhnya nasihat ini nasihat orang yang memberi selamat tinggal, maka apakah pesanan yang tuan hendak pesankan kepada kami Ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Aku berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah,  dan mendengar serta taat kepada (pemerintah kamu) sekalipun ia seorang hamba bangsa Habsyi, kerana sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup (selepas ku) akan melihat perselisihan yang banyak dan (dengan yang demikian) berjaga-jagalah kamu, jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya perkara-perkara itu adalah sesat;  oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam zaman berlakunya yang demikian, maka hendaklah ia menurut jalanku dan jalan khalifah-khalifah (ku) yang mendapat pimpinan lagi beroleh hidayat pertunjuk; berpegang teguhlah kamu kepadanya dengan seteguh-teguhnya."
(Tirmizi)
Menurut hadis Abu Daud,  (Baginda bersabda): "Dan berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya tiap-tiap perkara yang diada-adakan) itu bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat. "
Hadis yang kelima ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. seorang ahli pidato yang amat bijaksana.
(2) Dalam pidato-pidatonya, kerapkali Baginda berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah.
(3) Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada pemerintah dengan tidak memandang kepada asal keturunannya.
(4) Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam.
(5) Jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al Rashidin hendaklah sentiasa dijadikan pedoman.
Huraiannya:
Pertama - Rasulullah s.a.w. Seorang Ahli Pidato Yang Amat Bijaksana: 
Sebagai seorang Rasul yang terpilih,  yang sentiasa mendapat pimpinan dari Allah s.w.t. melalui malaikat Jibril (a.s.), sudah tentu nasihat-nasihat dan pengajaran Baginda memberi kesan yang sangat-sangat mendalam dan mempengaruhi pendengar-pendengarnya, sehingga hati yang keras menjadi lembut,  yang pengecut menjadi berani,  dan yang cuai menjadi tekun, bertindak dengan bersungguh-sungguh.
Kedua - Soal Taqwa:
Dalam pidatonya, Baginda kerapkali berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah s.w.t.
"Taqwa" ialah cara memelihara dan menjaga diri dan lain-lainnya kerana takut terkena sebarang perkara yang merosakkan atau yang mencacatkan.
Kerosakan-kerosakan itu ada kalanya mengenal hidup di dunia,  dan ada kalanya mengenai hidup di akhirat.
Bagi menjaga dan mengawal kerosakan atau kecacatan hidup di dunia,  hendaklah dipelajari ilmu pengetahuan yang berhubung dengan undang-undang kejadian alam serta diikuti dan dijalankan dengan sempurna. 
Misalnya bagi mencegah kekalahan dan kerosakan dalam perjuangan,  hendaklah mengetahui cara-cara dan peraturan melawan musuh,  serta menyediakan alat-alat kelengkapan yang dikehendaki oleh keadaan dan zaman.  Selain dan itu hendaklah pula disertakan dengan kekuatan rohani iaitu bersatu hati, tetap dan tabah serta bertawakal kepada Allah Taala.
Demikian juga, bagi menjaga kerosakan atau kecacatan hidup di akhirat, hendaklah mencegahnya dengan iman yang ikhlas, tauhid yang tulin, dan amal yang salih serta menjauhi segala yang bertentangan dengan semuanya itu, seperti bawaan syirik, perbuatan maksiat, dan akhlak yang memburukkan seseorang atau masyarakat.
Pendeknya "Bertaqwa" ialah berusaha menjalankan sebab-sebab yang dijadikan Tuhan untuk mencapai musababnya - Seperti beriman dan beramal salih untuk mencapai nikmat kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat kelak dan berusaha menurut jalan dan peraturan yang betul untuk mencapai kejayaan di dunia.
Ketiga - Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada ketua,  sekalipun ketua itu dari golongan hamba abdi:
Seseorang ketua,  dengan sifatnya pemegang teraju pemerintahan sesebuah negara, atau sesebuah masyarakat, atau sesebuah pejabat, atau lain-lainnya, wajib dipatuhi oleh set!p orang yang di bawah perintahnya, selagi tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam,  sebagaimana yang dinyatakan oleh sebuah hadis,  yang maksudnya:
"Tidak harus mentaati seseorang makhluk dalam perkara melanggar perintah Tuhan".
Patuh setia dan seluruh rakyat itu menjadikan segala urusan pemerintahan berjalan dengan baik,  dapat memberikan hak-hak kepada tuan punya masing-masing mengikut apa yang wajib.  Kalau tidak, akan berlakulah berbagai-bagai huru-hara. 
Memandang kepada besarnya kepentingan taat setia terhadap ketua atau pemerintah,  dan besarnya bencana ketiadaan taat setia itu maka Rasulullah s.a.w. wajibkan juga mematuhi walaupun ketua atau pemerintah itu dari golongan hamba abdi, sekiranya ia dengan ilmu pengetahuannya berpeluang menjadi ketua, pada hal ketua atau pemerintah itu - selain daripada ilmu pengetahuan yang melayakkannya - menurut dasar syarak hendaklah dari keturunan yang mu1ia.
Keempat - Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam:
Amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. telah berlaku dan menjadi kenyataan. Orang-orang Islam telah pun mengalami perselisihan sesama sendiri, sama ada dalam soal-soal i'tikad kepercayaan dan amal ibadat,  mahu pun dalam soal-soal politik, sehingga menyebabkan berlakunya
perkara-perkara yang tidak diingini
Kelima - Perlunya berpandu kepada jalan bawaan Rasulullah S.A.W. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Ar-Rasyidin:
Sebagaimana perlunya pedoman dalam perjalanan atau pelayaran untuk mengelakkan sesat barat, maka demikianlah pula perlunya berpandukan jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al-Rasyidin dalam bawaan hidup seseorang sehari-hari, lebih-lebih lagi pada masa berlakunya pertelingkahan.
Setelah memberi amaran tentang berlakunya persengketaan dalam kalangan umatnya, Baginda iringi pula dengan pesanan supaya mereka sentiasa berpandukan kepada jalannya dan jalan khalifah-khalifahnya, serta melarang keras dari melakukan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama - dengan berdasarkan akal fikiran semata-mata dan keinginan hawa nafsu - kerana buruk padahnya.
Hadis Keenam
6- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. (الترمذي) وعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَهُ.
6- Dari Abdullah bin 'Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi sesungguhnya akan berlaku kepada umatku perkara-perkara yang betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku kepada Bani Israil, sehingga jika ada di antara mereka orang yang berzina dengan ibunya dengan berterang-terang, nescaya akan ada dalam kalangan umatku orang yang melakukan perkara yang demikian; dan sesungguhnya kaum Bani Israil telah berpecah belah kepada tujuh puluh dua puak dan umatku pula akan berpecah belah kepada tujuh puluh tiga puak,  semuanya (akan dihumbankan) dalam neraka kecuali satu puak sahaja". Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Siapa dia puak yang satu itu ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Puak itu ialah puak yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku." (Tirmizi)
Menurut hadis Abu Daud,  ada tambahan, iaitu: "Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-adakan bid'ah sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya - tidak ada satu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya."
Hadis yang keenam ini mengandungi:
Penegasan Rasulullah s.a.w. tentang perkara-perkara buruk yang akan berlaku dalam kalangan umatnya yang wajib dijauhi, supaya mereka tetap teguh menurut jalannya dan jalan sahabat-sahabatnya.
Huraiannya:
Perkara-perkara buruk yang diperingati oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. itu ialah:
Pertama - Umat Islam akan melakukan penyelewengan dari ajaran-ajaran Islam yang sebenar, seperti yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil.
Baginda menyebutkan perihal kaum Bani Israil ini kerana penyelewengan mereka adalah seburuk-buruk contoh yang wajib dijauhi dan disingkirkan.
Meskipun mereka pada mulanya diberikan berbagai nikmat dan keistimewaan,  diturunkan kepada mereka kitab-kitab suci,  dan diutuskan kepada mereka beberapa banyak Nabi-nabi dan Rasul-rasul, tetapi kebanyakan mereka tetap kufur ingkar, dan terus melakukan berbagai-bagai jenayah dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh akhlaknya, hilang lenyap peri kemanusiaannya, dan berpecah belah kepada berbagai-bagai puak dalam kepercayaan dan fahaman-fahamannya serta mengadakan berbagai-bagai helah untuk memutarbelitkan ajaran-ajaran dan hukum-hukum agamanya. Merekalah juga yang telah menimbulkan dan mengembangkan berbagai-bagai isme atau fahaman, seperti fahaman komunis, fahaman kapitalis dan lain-lainnya yang merosakkan ketenteraman dan susunan masyarakat serta perekonomian negara-negara dunia yang dijalannya. Bahkan merekalah yang mengembangkan kebudayaan kuning yang lucah itu dan melanggar tata tertib dan kesopanan - melalui filem-filemnya, akhbar-akhbar dan majalah-majalahnya, fesyen-fesyen pakaiannya, dan kelab-kelab malamnya, sehingga berhaklah mereka dilaknat oleh Allah Taala di dalam kitab-kitab suciNya, dilaknat oleh malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, dan seluruh umat manusia yang berperi kemanusiaan. 
Baginda juga pernah memberi ingat dengan tegasnya - sebagaimana yang tersebut dalam salah satu hadisnya: Bahawa umatnya akan terpengaruh dan menjadi pak turut dengan buta tuli kepada segala apa jua yang datangnya dari kaum Yahudi dan Nasrani. 
Baginda menyebutkan secara khusus kedua-dua kaum itu, kerana mereka, selain diberikan kitab-kitab dan diutuskan Rasul-rasul yang memimpin mereka, merekalah sahaja yang berpengaruh dan banyak angkaranya pada zaman Baginda. Kalau kaum-kaum yang diberikan kitab dan pimpinan itu diingatkan kita jangan terpengaruh kepada penyelewengannya, maka kaum-kaum yang tidak diberi kitab dan tidak pula menerima pimpinan, lebih-lebih lagi wajib kita menolak bulat-bulat segala apa yang mereka sogok-sogokkan kepada kita dari perkara-perkara yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam kita seperti yang kita saksikan pada zaman kita ini - dari kaum-kaum Majusi,  Komunis, Etheis dan lain-lainnya.
Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. mengenai penyelewengan yang akan berlaku dalam kalangan umatnya itu telahpun berlaku dan menjadi kenyataan. Sebagaimana yang disaksikan sekarang ada di antara orang-orang Islam yang suka meniru bulat-bulat apa yang datang dari orang-orang yang bukan Islam,  meskipun perkara-perkara yang ditiru itu bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam. 
Di antara perkara-perkara itu ialah perbuatan setengah perempuan-perempuan Islam yang - selain daripada tidak mematuhi perintah Al-Qur'an menyuruh mereka menutup kepala meliputi belahan leher bajunya - mereka pula membesarkan hiasan kepalanya dengan berbagai-bagai cara yang di antaranya menggunakan rambut-rambut palsu. Ada pula yang menghaluskan bulu keningnya. Ada juga yang berpakaian tetapi mereka seolah-olah bertelanjang kerana nipisnya dan tidak menutup aurat. Ada juga yang berjalan di khalayak ramai dengan cara yang tidak sopan seperti lagak perempuan-perempuan jahat.  Ada pula di antara mereka yang memakai pakaian lelaki dan ada yang berlagak seperti lelaki,  sedang segala perbuatan yang demikian adalah dikutuk oleh Islam.
Selain dari itu, terdapat wanita-wanita yang rela dipamirkan badannya, yang menggunakan pakaian yang sempit dan singkat, mendedahkan aurat, sengaja memperlihatkan bentuk badan, dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan hukum dan kesopanan Islam.
Ada pula di antaranya yang keluar dan rumahnya dengan menggunakan berbagai perhiasan yang menarik perhatian,  dengan menggunakan berjenis-jenis bedak muka dan gincu bibir, serta memakai bau-bauan yang harum pada hal semuanya itu - seperti juga segala perhiasan yang lain - hanya ditentukan dan digalakkan oleh agama supaya dilakukan di rumah khasnya untuk suaminya.
Wanita-wanita Islam dilarang memperlihatkan hiasan tubuhnya kecuali kepada suami dan orang-orang lelaki yang menjadi mahramnya serta orang-orang yang tertentu, seperti yang tersebut di dalam Al-Qur'an al-Karim (Ayat 31, Surah Al-Nur).
Demikian juga halnya perkara-perkara buruk yang berlaku dalam kalangan kaum lelaki.  Ada di antara orang-orang lelaki Islam yang telah hilang langsung perasaan cemburunya terhadap isterinya dan perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya, sehingga dia hampir-hampir bersifat dengan sifat orang "Dayus" yang dikutuk oleh Islam dan diharamkan oleh Allah dari masuk syurga,  seperti sikapnya membiarkan isterinya atau perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya bebas keluar, bebas bercampur gaul dengan orang-orang lelaki yang bukan mahramnya, bebas dipeluk oleh lelaki asing dalam pesta-pesta tari menari, dan sebagainya.
Ada pula lelaki yang berlagak dan berhias seperti perempuan,  dan yang memakai pakaian perempuan. 
Semuanya itu, sama ada yang dilakukan oleh kaum lelaki atau kaum perempuan adalah haram dan dikutuk sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadis-hadisnya, serta menyatakan balasan buruk masing-masing, sehingga ditegaskan ada di antara mereka yang melakukan perkara-perkara buruk itu, bukan sahaja tidak akan masuk syurga,  bahkan tidak dapat mencium baunya, sedang bau syurga boleh didapati dan jarak yang jauh.
Kedua - Akan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam mengenai akidah kepercayaan dan amalan agama,  seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israil, pada hal perpecahan yang demikian bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, dan semua puak yang berpecah itu salah dan sesat belaka, kecuali satu sahaja, iaitu puak yang tetap menurut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. dan bawaan sahabat-sahabatnya, dengan tidak mengurangi,  menokok tambah, atau menyeleweng sedikit pun.
Selain dan itu, menurut tambahan yang terdapat pada hadis Abu Daud yang tersebut, Baginda mengingatkan bahawa akan timbul dalam kalangan umatnya beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit hawa nafsu suka mengurangi,  menokok tambah, atau menyeleweng dari jalan yang sebenar, seperti menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya.
Ingatan yang tegas dan jelas yang diberikan oleh Baginda itu, ialah supaya umatnya tetap menurut jalan pimpinannya dan bawaan sahabat-sahabatnya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...