Pelawat Blog

Artikel 4 - KELEBIHAN-KELEBIHAN AGAMA ISLAM

KELEBIHAN-KELEBIHAN AGAMA ISLAM

Firman Allah Taala, maksudnya: " .. dan aku telah redhakan Islam menjadi agama untuk kamu .. (3, Al-Maidah).
 
Hadis Kesepuluh
 
 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ الْقِصَاصُ الْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا. (البخاري)
10 - Dari Abi Sa'id Al-Khudri ra., bahawa ia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang itu memeluk Islam,  lalu ia mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), Allah akan mengampunkan tiap-tiap kejahatan yang telah dilakukannya dahulu (sebelum Islam) dan sesudah itu dijalankanlah balasan (bagi segala amalnya) - tiap-tiap satu kebaikan (akan dibalas) dengan sepuluh kali gandanya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan (akan dibalas) dengan satu kejahatan yang menyamainya, kecuali jika Allah mengampunkannya."
(Bukhari)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Setiap orang yang masuk Islam dengan sebenar-benarnya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
(2) Sesudah ia masuk Islam, baharulah ia akan diberi balasan menurut ketetapan yang tertentu.
(3) Balasan orang yang berdosa,  terserah kepada Allah. 
Huraiannya:
Pertama - Soal orang kafir masuk Islam:
Tiap-tiap perbuatan yang dikerjakan dan kepercayaan yang dii'tikadkan oleh seseorang tetap dikira baik dan buruknya, atau pahala dan dosanya.
Tetapi orang kafir apabila masuk Islam, maka segala bawaannya meliputi perbuatan dan kepercayaan yang dilakukannya sebelum itu diampunkan dan bersihlah ia dari menanggung sebarang dosa. 
Kedua - Balasan amalnya yang dilakukan setelah memeluk Islam: 
Sesudah itu dijalankan semula hitungan tentang kepercayaan dan amal-amal yang dilakukannya, juga tentang dosa dan pahalanya, iaitu tiap-tiap satu amal kebajikan yang dikerjakannya apakala sempurna syaratnya diberi balasan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda, menurut kesempurnaan amal-amal itu dan keikhlasan orang yang mengerjakannya.
Sebaliknya tiap-tiap satu amal kejahatannya - jika dikehendaki Allah - dibalas dengan hanya satu kejahatan yang sama dengannya.
Ketiga - Balasan orang yang berdosa: 
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan satu hakikat bahawa orang yang melakukan dosa tak boleh ditentukan balasan buruknya, kerana hal itu terserah kepada Allah Azza wa jalla. 
Oleh yang demikian, tidak harus bagi seseorang menentukan balasan buruk kepada orang yang mati dalam maksiat. 
Dengan ini tertolaklah pegangan puak yang menetapkan balasan neraka kepada orang yang melakukan dosa besar dan pegangan puak yang mengatakan bahawa orang yang berdosa besar,  terkeluar dan Islam; juga tertolaknya kepercayaan puak yang menetapkan bahawa orang yang berdosa besar itu kekal dalam neraka. 
 
Hadis Kesebelas
 
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ إِسْلَامَهُ فَكُلُّ حَسَنَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَكُلُّ سَيِّئَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِمِثْلِهَا. (البخاري)
11 - Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keIslamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebaikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya."
(Bukhari)
Hadis yang kesebelas ini mengandungi tentang:
Nilaian Islam terhadap kebajikan dan kejahatan: 
Huraiannya:
Islam memang ada kelebihannya dengan sifatnya agama yang sah di sisi Allah. Di antara kelebihan-kelebihan Islam ialah tiap-tiap satu amal yang baik diberi balasan sekurang-kurangnya dengan sepuluh kali ganda. Kelebihan ini tidak dapat dicapai dengan pengakuan mulut semata-mata, atau dengan sebab keturunan Islam sahaja, tetapi dicapai hanya dengan amal-amal yang baik,  yang sempurna lagi ikhlas untuk beroleh keredhaan Allah `Azza wa Jalla.
Bagi orang yang baru masuk Islam, sebagaimana yang diterangkan perihalnya dalam hadis yang kesepuluh, hendaklah - selain daripada tetapnya mematuhi Islam - masuknya dengan tujuan mencari keredhaan Allah semata-mata, bukan kerana tujuan yang lain.
Bagi orang-orang yang berketurunan Islam pula, hendaklah mereka tetap mematuhi Islam, dan mengerjakan ajaran-ajaran Islam dengan sempurna dan ikhlas!  Dengan yang demikian baharulah Islamnya itu dinilai oleh Allah Taala dan diberi balasan yang berganda-ganda.
 
Hadis Kedua Belas
 
 عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ. (البخاري ومسلم)
12 - Dari Ubadah bin As-Samit r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang meyakini serta menerangkan kebenaran bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah hambaNya dan RasulNya dan bahawa sesungguhnya Nabi Isa ialah hamba Allah dan anak hambaNya (Mariam) serta RasulNya dan (Nabi Isa juga ialah "Kalimah Allah"(1) yang telah disampaikan kepada Maryam dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya(2) dan (bahawa) Syurga (yang dijanjikan) itu benar dan Neraka (yang dijanjikan) itu benar,  nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dengan apa sahaja keadaan amalnya."
(Bukhari dan Muslim)
__________________________
(1) "Kalimah Allah" yakni Nabi Isa (a.s.) dijadikan oleh Allah Taala tidak berbapa, hanya dengan kalimah "Kun" ertinya: "Jadilah engkau" maka menjadilah ia.
(2) Yakni bahawa Nabi Isa (a.s.) dikandungkan oleh ibunya: Siti Maryam yang masih gadis hanya dengan tiupan "Roh Al-Qudus" (Malaikat Jibril) yang datang kepadanya dengan perintah Allah `Azza Wa Jalla, meniupkan benih ke dalam rahimnya.
Kandungan hadis yang kedua belas ini menerangkan: 
(1) Keyakinan dan penerangan yang dengannya seseorang tetap dimasukkan ke dalam Syurga. 
(2) Islam menentang fahaman-fahaman sesat. 
Huraiannya:
Pertama - Keyakinan dan Penerangan: 
Untuk mendapat balasan baik dari Allah s.w.t. dan perlindungan dari azabNya, maka tak dapat tidak seseorang itu mestilah melafazkan kalimah syahadat iaitu menerangkan keyakinannya tentang keesaan Allah,  kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan menerangkan keyakinannya bahawa Nabi Isa (a.s.): Hamba Allah dan RasulNya, juga menerangkan keyakinannya tentang adanya balasan Syurga dan Neraka. 
Maka sesiapa mati dengan berpegang teguh kepada i'tikad yang demikian nescaya tetaplah ia menjadi ahli Syurga. Dalam pada itu kalaulah ia seorang yang mengerjakan perkara-perkara yang diwajibkan dan menjauhkan diri dari segala yang diharamkan, maka ia akan terus masuk Syurga;  kalau tidak maka perkaranya terserah kepada Allah - jika Allah kehendaki diazabkannya menurut dosa-dosa dan kecuaiannya, kemudian dimasukkan dia ke dalam Syurga dan jika Allah kehendaki diampunkannya dan dimasukkan dia ke dalam Syurga.
Kedua - Menentang fahaman Sesat: 
Hadis Rasulullah s.a.w. ini menerangkan asas kepercayaan Islam yang menolak bulat-bulat kepercayaan dan fahaman:
(1) Orang-orang Kristian yang mengatakan kononnya Nabi Isa anak Tuhan. 
(2) Orang-orang Yahudi yang mengingkari kerasulan Nabi Isa. 
(3) Puak-puak yang mengatakan tidak ada Syurga dan Neraka.

Artikel 3 - AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH IALAH ISLAM

AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH IALAH ISLAM

Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya agama(1) yang diredhai Allah ialah Islam(2) ..." (19, Ali Imran).
"Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya .." (85, Ali Imran).
_________________________
(1) Agama:  Ialah undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia mendapat - dengan sebabnya - nikmat yang sebenar dan kebahagiaan yang kekal.
(2) Islam: Dipakai dengan erti:
Pertama - Mematuhi segala perkara yang disampaikan dan diterangkan oleh
Rasulullah s.a.w., seperti yang tersebut pada Ayat 19, surah Ali Imran.
Kedua - Hukum-hukum
syarak dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., seperti yang tersebut pada Ayat 85, Surah Ali Imran.
Ketiga -
Agama yang dibawa dan disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Seperti yang tersebut pada Ayat 3, Surah Al-Maidah, yang maksudnya: "Dan aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."
Hadis Ketujuh
7- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى. (البخاري)
7 - Dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sekalian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Ya Rasulullah,  siapakah orang yang enggan itu?" Baginda menjawab:  "Sesiapa yang taat kepada ku akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah enggan." (Bukhari)
Hadis yang ketujuh ini mengandungi:
(1) Manusia wajib mematuhi satu undang-undang yang tertentu.
(2) Kepatuhan yang sempurna kepada undang-undang itu sahajalah yang menyebabkan kebahagiaan seseorang di dunia dan di akhirat.
Huraiannya
Pertama - Manusia dan Undang-undang yang diwajibkan mematuhinya:
Sebagaimana yang diketahui dan disaksikan bahawa segala jenis makhluk dalam alam kehidupan ini - untuk kesempurnaan keadaannya - tak dapat tidak mematuhi undang-undang yang dikhaskan baginya, maka manusia sebagai makhluk yang tersusun dari jasmani dan rohani sudah tentu wajib mematuhi satu undang-undang yang khas untuk rohaninya selain dari wajibnya mematuhi undang-undang jasmaninya.
Undang-undang itu ialah Islam (hukum-hukum syarak dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh utusan Tuhan).

Kedua -
Kepatuhan yang sempurna dan balasannya:

Tiap-tiap amal meliputi kepercayaan,  tutur kata dan perbuatan - ada balasan yang sesuai dengannya, sama ada baik atau sebaliknya; dan segala kesenangan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat adalah hasil dari kepatuhan (Islam) yang sempurna dalam mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang.
Oleh kerana kesenangan dan kebahagiaan sejati hanya terdapat di akhirat, maka balasan syurga dan segala nikmat di dalamnya hendaklah menjadi harapan yang utama kepada setiap orang dengan mematuhi ajaran Islam.

 
Hadis Kelapan
8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ أَطَاعَ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ عَصَى الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي. (البخاري ومسلم)
8 - Dan dari Abu Hurairah juga, dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang taat kepada ku maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah,  dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah,  dan (selain itu) sesiapa yang taat kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah taat kepada ku dan sesiapa yang derhaka kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada ku .."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelapan ini menyatakan bahawa:
Taat kepada Rasulullah s.a.w. dan taat kepada pemerintah bererti taat kepada Allah.
Huraiannya:
Sebagaimana yang diterangkan bahawa di antara pengertian-pengertian Islam ialah taat atau mematuhi hukum Allah. Oleh kerana hukum-hukum itu dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan dijalankan oleh pemerintah serta pemerintah-pemerintah itu pula mengadakan hukum-hukum dan peraturan yang tidak berlawanan dengannya, maka taat kepada Rasulullah s.a.w dan kepada pemerintah itu bererti taat yang membawa keredhaan Allah. Sebaliknya menderhaka kepada Rasul dan pemerintah yang bersifat demikian, bererti kederhakaan yang menyebabkan kemurkaan Allah.
Oleh itu, maka orang yang berakal siuman,  sudah tentu berusaha menjauhi dirinya dan segala apa jua yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan tidak ada jalan yang lain melainkan mematuhi ajaran-ajaran Islam. 
Hadis Kesembilan
9- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَتَجِيءُ الصَّلَاةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّلَاةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ فَتَجِيءُ الصَّدَقَةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّدَقَةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الصِّيَامُ فَيَقُولُ أَيْ يَا رَبِّ أَنَا الصِّيَامُ فَيَقُولُ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكَ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنْتَ السَّلَامُ وَأَنَا الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ بِكَ الْيَوْمَ آخُذُ وَبِكَ أُعْطِي. (الإمام أحمد)
9 - Dan dari Abu Hurairah juga, katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), - di antaranya sembahyang datang lalu berkata:  "Ya Tuhanku!  Akulah sembahyang"; Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik,  (tetapi engkau sahaja belum cukup)"; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): "Tujuan engkau itu baik,  tetapi engkau sahaja belum cukup)"; kemudian datang pula Islam lalu berkata:  "Ya Tuhanku!  Enqkaulah Tuhan yang bernama: As-Salam dan akulah: "Islam"; maka Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah juga aku memberi balasan".
(Imam Ahmad)
Hadis yang kesembilan ini menyatakan bahawa:
Amal-amal: Sembahyang, zakat, puasa dan lain-lainnya, datang pada hari qiamat untuk menolong yang mengerjakannya. Islam juga datang dan dengan Islamlah dinilai segala amal.
Huraiannya:
Keadaan Amal-amal yang baik pada hari Qiamat:
Segala yang berlaku pada hari qiamat, seperti kebangkitan manusia hidup semula dan balasan amal-amal masing-masing, keadaan syurga dan neraka dan lain-lainnya adalah perkara-perkara yang diterangkan perihalnya oleh Allah dan RasulNya; segala yang diterangkannya itu adalah benar belaka, tetap berlaku, sama ada manusia meyakininya atau tidak.
Apa jua yang akan berlaku pada hari qiamat tidak harus diukur dengan perkara-perkara biasa yang berlaku dalam dunia ini,  kerana segala yang berlaku dalam alam akhirat adalah berlainan sama sekali keadaannya.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan bahawa pada hari qiamat kelak, amal-amal: Sembahyang, zakat,  puasa dan lain-lainnya, masing-masing datang mengadap ke hadrat Allah `Azza wa Jalla dengan tujuan hendak memohon syafaat (pertolongan) bagi orang yang mengerjakannya.
Allah Taala memuji tujuan baik tiap-tiap amal itu dan menerangkan kepadanya, bahawa itu sahaja belum cukup dan belum tentu lagi dapat memberikan pertolongan selagi masing-masing belum dinilai tentang sahnya dan sempurnanya.
Setelah itu datanglah Islam mengadap Allah Taala dan memujiNya. Tujuan kedatangannya, juga untuk memohonkan syafaat pertolongan bagi orang yang mengerjakan amal dengan mematuhinya.
Allah Taala memuji tujuan Islam yang baik itu dan menegaskan bahawa dengan adanya Islam yang sempurna pada tiap-tiap amal yang dikerjakan maka Allah menerima amal itu serta membalasnya dengan balasan yang sesuai dengannya.

Artikel 2 - WAJIB BERPEGANG TEGUH KEPADA KITAB ALLAH DAN MENGIKUT JALAN PIMPINAN RASULULLAH S.A.W.

WAJIB BERPEGANG TEGUH KEPADA KITAB ALLAH DAN MENGIKUT JALAN PIMPINAN RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala, maksudnya: "Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah Al-Qur'an .. (103, Ali-Imran).
".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).
Hadis Ketiga
3- عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ مَنْ اتَّبَعَهُ كَانَ عَلَى الْهُدَى وَمَنْ تَرَكَهُ كَانَ عَلَى ضَلَالَةٍ. (مسلم)

3 - Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. " (Muslim)
Hadis yang ketiga ini mengandungi:
(1) Kitab Allah ialah jalan perhubungan seseorang dengan Allah. 
(2) Nasib seseorang bergantung kepada mengikut atau tidaknya akan kitab Allah. 
Huraiannya:
Pertama - Kitab Allah Al-Qur'an Al-Karim:
Allah S.W.T. Tuhan pencipta alam seluruhnya dan pencipta manusia khasnya. Manusia tidaklah seperti keadaan kayu dan batu, dan tidaklah seperti keadaan haiwan-haiwan yang lain, tetapi manusia adalah sejenis makhluk yang kejadiannya tersusun dari jasmani dan rohani, serta berkeadaan dengan sifat-sifat istimewa berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu maka tak patut manusia hanya tinggal manusia,  tidak lebih dari itu, bahkan wajiblah ada perhubungannya dengan Allah penciptanya; maka jalan perhubungan seseorang dengan Allah itu tidak lain melainkan Al-Qur'an al-Karim. Di dalam Al-Qur'an ada keterangan-keterangan, ada tunjuk ajar untuk seseorang mencapai keselamatan;  ada yang berupa suruhan, ada yang berupa larangan,  sama ada dalam bahagian ibadat,  mahu pun dalam bahagian bidang-bidang kehidupan, yang wajib dipatuhi, di mana seseorang itu berada dan dalam zaman mana ia hidup, hingga hari kiamat. 
ltulah sebabnya Al-Qur'an itu disifatkan dengan "Tali Allah" yang teguh kukuh, sesiapa yang berpegang dengannya selamatlah dia, dan sesiapa yang mencuaikannya binasalah dia.
Kedua - Nasib seseorang dalam alam kehidupan:
Perkara nasib sentiasa dipersoalkan oleh setiap orang dalam setiap masa,  lebih-lebih lagi dalam zaman sains dan teknologi mi. Mereka berusaha, mereka bertindak dengan tujuan membaiki dan membela nasibnya.
Tetapi walau bagaimanapun, nasib yang mereka maksudkan itu tidak lebih dari nasib dalam kehidupan dunia sahaja, katalah tentang senang atau susah,  atau lain-lain lagi; semuanya setakat dalam dunia,  dengan tidak memandang kepada akhirat - alam kesudahan masing-masing; dan semuanya mengikut ukuran lahir semata-mata dengan tidak memandang kepada nilaian akhlak dan peri kemanusiaan;  maka dengan sebab itulah dalam berusaha untuk membaiki dan membela nasib kerapkali berlaku pencerobohan terhadap nasib orang lain, atau menyentuh maruah diri sendiri atau diri orang lain.
Adapun nasib yang dimaksudkan oleh agama ialah nasib yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat sama,  sedang manusia dengan fikirannya sendiri hanya dapat mengetahui perkara jasmani dalam dunia ini,  itupun kadarnya sangat terbatas; pada hal hakikat manusia bukanlah jasmani sahaja bahkan jasmani dan rohani sama;  maka manusia walaupun seberapa bijak fikiran mereka tak dapat mengetahui dengan sahnya perkara rohani itu, lebih-lebih lagi perkara alam akhirat. 
Dengan yang demikian, maka untuk membaiki nasib dan mencapai kebahagiaan dunia akhirat, wajiblah seseorang itu menurut ajaran kitab Allah dan menjauhkan diri dan segala larangannya.
Hadis Keempat
4- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك)
4 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).
(Imam Malik).
Hadis yang keempat ini mengandungi:
(1) Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal abadi. 
(2) Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia.
Huraiannya:
Pertama - Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w.:
Baginda tidak meninggalkan harta benda yang menjadi pusaka kepada waris-warisnya. Sebagai seorang Rasul,  Baginda diberi mukjizat-mukjizat yang membuktikan kerasulannya dan mukjizat-mukjizat itu habis apabila lalu masanya, tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat,  yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman. 
Peninggalannya itu ialah "Kitab Allah Al-Qur'an" yang diwahyukan kepadanya dan "Sunnah"nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya).
Kedua - Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia: 
Jaminan keselamatan yang diberi melalui "Kitab Allah" dan "Sunnah RasulNya itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami;  tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki.
Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.
Hadis Kelima
5- عَنْ الْعِرْبَاضِ بْنِ سَارِيَةَ قَالَ وَعَظَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا بَعْدَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ رَجُلٌ إِنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ يَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَعَلَيْهِ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ. (الترمذي) وعند أبي داود: "وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ".
5 - Dari Al-'Irbaadh bin Sariyah, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menasihati dan mengingati kami, pada suatu hari lepas sembahyang Subuh,  dengan satu nasihat dan peringatan yang sangat-sangat mendalam dan berkesan, yang menjadikan (Pendengar-pendengarnya) menitiskan air mata dan menjadikan hati (mereka) gerun gementar. Lalu berkatalah salah seorang lelaki (di antara kami): "Sesungguhnya nasihat ini nasihat orang yang memberi selamat tinggal, maka apakah pesanan yang tuan hendak pesankan kepada kami Ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Aku berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah,  dan mendengar serta taat kepada (pemerintah kamu) sekalipun ia seorang hamba bangsa Habsyi, kerana sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup (selepas ku) akan melihat perselisihan yang banyak dan (dengan yang demikian) berjaga-jagalah kamu, jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya perkara-perkara itu adalah sesat;  oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam zaman berlakunya yang demikian, maka hendaklah ia menurut jalanku dan jalan khalifah-khalifah (ku) yang mendapat pimpinan lagi beroleh hidayat pertunjuk; berpegang teguhlah kamu kepadanya dengan seteguh-teguhnya."
(Tirmizi)
Menurut hadis Abu Daud,  (Baginda bersabda): "Dan berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya tiap-tiap perkara yang diada-adakan) itu bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat. "
Hadis yang kelima ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. seorang ahli pidato yang amat bijaksana.
(2) Dalam pidato-pidatonya, kerapkali Baginda berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah.
(3) Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada pemerintah dengan tidak memandang kepada asal keturunannya.
(4) Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam.
(5) Jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al Rashidin hendaklah sentiasa dijadikan pedoman.
Huraiannya:
Pertama - Rasulullah s.a.w. Seorang Ahli Pidato Yang Amat Bijaksana: 
Sebagai seorang Rasul yang terpilih,  yang sentiasa mendapat pimpinan dari Allah s.w.t. melalui malaikat Jibril (a.s.), sudah tentu nasihat-nasihat dan pengajaran Baginda memberi kesan yang sangat-sangat mendalam dan mempengaruhi pendengar-pendengarnya, sehingga hati yang keras menjadi lembut,  yang pengecut menjadi berani,  dan yang cuai menjadi tekun, bertindak dengan bersungguh-sungguh.
Kedua - Soal Taqwa:
Dalam pidatonya, Baginda kerapkali berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah s.w.t.
"Taqwa" ialah cara memelihara dan menjaga diri dan lain-lainnya kerana takut terkena sebarang perkara yang merosakkan atau yang mencacatkan.
Kerosakan-kerosakan itu ada kalanya mengenal hidup di dunia,  dan ada kalanya mengenai hidup di akhirat.
Bagi menjaga dan mengawal kerosakan atau kecacatan hidup di dunia,  hendaklah dipelajari ilmu pengetahuan yang berhubung dengan undang-undang kejadian alam serta diikuti dan dijalankan dengan sempurna. 
Misalnya bagi mencegah kekalahan dan kerosakan dalam perjuangan,  hendaklah mengetahui cara-cara dan peraturan melawan musuh,  serta menyediakan alat-alat kelengkapan yang dikehendaki oleh keadaan dan zaman.  Selain dan itu hendaklah pula disertakan dengan kekuatan rohani iaitu bersatu hati, tetap dan tabah serta bertawakal kepada Allah Taala.
Demikian juga, bagi menjaga kerosakan atau kecacatan hidup di akhirat, hendaklah mencegahnya dengan iman yang ikhlas, tauhid yang tulin, dan amal yang salih serta menjauhi segala yang bertentangan dengan semuanya itu, seperti bawaan syirik, perbuatan maksiat, dan akhlak yang memburukkan seseorang atau masyarakat.
Pendeknya "Bertaqwa" ialah berusaha menjalankan sebab-sebab yang dijadikan Tuhan untuk mencapai musababnya - Seperti beriman dan beramal salih untuk mencapai nikmat kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat kelak dan berusaha menurut jalan dan peraturan yang betul untuk mencapai kejayaan di dunia.
Ketiga - Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada ketua,  sekalipun ketua itu dari golongan hamba abdi:
Seseorang ketua,  dengan sifatnya pemegang teraju pemerintahan sesebuah negara, atau sesebuah masyarakat, atau sesebuah pejabat, atau lain-lainnya, wajib dipatuhi oleh set!p orang yang di bawah perintahnya, selagi tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam,  sebagaimana yang dinyatakan oleh sebuah hadis,  yang maksudnya:
"Tidak harus mentaati seseorang makhluk dalam perkara melanggar perintah Tuhan".
Patuh setia dan seluruh rakyat itu menjadikan segala urusan pemerintahan berjalan dengan baik,  dapat memberikan hak-hak kepada tuan punya masing-masing mengikut apa yang wajib.  Kalau tidak, akan berlakulah berbagai-bagai huru-hara. 
Memandang kepada besarnya kepentingan taat setia terhadap ketua atau pemerintah,  dan besarnya bencana ketiadaan taat setia itu maka Rasulullah s.a.w. wajibkan juga mematuhi walaupun ketua atau pemerintah itu dari golongan hamba abdi, sekiranya ia dengan ilmu pengetahuannya berpeluang menjadi ketua, pada hal ketua atau pemerintah itu - selain daripada ilmu pengetahuan yang melayakkannya - menurut dasar syarak hendaklah dari keturunan yang mu1ia.
Keempat - Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam:
Amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. telah berlaku dan menjadi kenyataan. Orang-orang Islam telah pun mengalami perselisihan sesama sendiri, sama ada dalam soal-soal i'tikad kepercayaan dan amal ibadat,  mahu pun dalam soal-soal politik, sehingga menyebabkan berlakunya
perkara-perkara yang tidak diingini
Kelima - Perlunya berpandu kepada jalan bawaan Rasulullah S.A.W. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Ar-Rasyidin:
Sebagaimana perlunya pedoman dalam perjalanan atau pelayaran untuk mengelakkan sesat barat, maka demikianlah pula perlunya berpandukan jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al-Rasyidin dalam bawaan hidup seseorang sehari-hari, lebih-lebih lagi pada masa berlakunya pertelingkahan.
Setelah memberi amaran tentang berlakunya persengketaan dalam kalangan umatnya, Baginda iringi pula dengan pesanan supaya mereka sentiasa berpandukan kepada jalannya dan jalan khalifah-khalifahnya, serta melarang keras dari melakukan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama - dengan berdasarkan akal fikiran semata-mata dan keinginan hawa nafsu - kerana buruk padahnya.
Hadis Keenam
6- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. (الترمذي) وعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَهُ.
6- Dari Abdullah bin 'Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi sesungguhnya akan berlaku kepada umatku perkara-perkara yang betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku kepada Bani Israil, sehingga jika ada di antara mereka orang yang berzina dengan ibunya dengan berterang-terang, nescaya akan ada dalam kalangan umatku orang yang melakukan perkara yang demikian; dan sesungguhnya kaum Bani Israil telah berpecah belah kepada tujuh puluh dua puak dan umatku pula akan berpecah belah kepada tujuh puluh tiga puak,  semuanya (akan dihumbankan) dalam neraka kecuali satu puak sahaja". Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Siapa dia puak yang satu itu ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Puak itu ialah puak yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku." (Tirmizi)
Menurut hadis Abu Daud,  ada tambahan, iaitu: "Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-adakan bid'ah sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya - tidak ada satu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya."
Hadis yang keenam ini mengandungi:
Penegasan Rasulullah s.a.w. tentang perkara-perkara buruk yang akan berlaku dalam kalangan umatnya yang wajib dijauhi, supaya mereka tetap teguh menurut jalannya dan jalan sahabat-sahabatnya.
Huraiannya:
Perkara-perkara buruk yang diperingati oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. itu ialah:
Pertama - Umat Islam akan melakukan penyelewengan dari ajaran-ajaran Islam yang sebenar, seperti yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil.
Baginda menyebutkan perihal kaum Bani Israil ini kerana penyelewengan mereka adalah seburuk-buruk contoh yang wajib dijauhi dan disingkirkan.
Meskipun mereka pada mulanya diberikan berbagai nikmat dan keistimewaan,  diturunkan kepada mereka kitab-kitab suci,  dan diutuskan kepada mereka beberapa banyak Nabi-nabi dan Rasul-rasul, tetapi kebanyakan mereka tetap kufur ingkar, dan terus melakukan berbagai-bagai jenayah dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh akhlaknya, hilang lenyap peri kemanusiaannya, dan berpecah belah kepada berbagai-bagai puak dalam kepercayaan dan fahaman-fahamannya serta mengadakan berbagai-bagai helah untuk memutarbelitkan ajaran-ajaran dan hukum-hukum agamanya. Merekalah juga yang telah menimbulkan dan mengembangkan berbagai-bagai isme atau fahaman, seperti fahaman komunis, fahaman kapitalis dan lain-lainnya yang merosakkan ketenteraman dan susunan masyarakat serta perekonomian negara-negara dunia yang dijalannya. Bahkan merekalah yang mengembangkan kebudayaan kuning yang lucah itu dan melanggar tata tertib dan kesopanan - melalui filem-filemnya, akhbar-akhbar dan majalah-majalahnya, fesyen-fesyen pakaiannya, dan kelab-kelab malamnya, sehingga berhaklah mereka dilaknat oleh Allah Taala di dalam kitab-kitab suciNya, dilaknat oleh malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, dan seluruh umat manusia yang berperi kemanusiaan. 
Baginda juga pernah memberi ingat dengan tegasnya - sebagaimana yang tersebut dalam salah satu hadisnya: Bahawa umatnya akan terpengaruh dan menjadi pak turut dengan buta tuli kepada segala apa jua yang datangnya dari kaum Yahudi dan Nasrani. 
Baginda menyebutkan secara khusus kedua-dua kaum itu, kerana mereka, selain diberikan kitab-kitab dan diutuskan Rasul-rasul yang memimpin mereka, merekalah sahaja yang berpengaruh dan banyak angkaranya pada zaman Baginda. Kalau kaum-kaum yang diberikan kitab dan pimpinan itu diingatkan kita jangan terpengaruh kepada penyelewengannya, maka kaum-kaum yang tidak diberi kitab dan tidak pula menerima pimpinan, lebih-lebih lagi wajib kita menolak bulat-bulat segala apa yang mereka sogok-sogokkan kepada kita dari perkara-perkara yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam kita seperti yang kita saksikan pada zaman kita ini - dari kaum-kaum Majusi,  Komunis, Etheis dan lain-lainnya.
Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. mengenai penyelewengan yang akan berlaku dalam kalangan umatnya itu telahpun berlaku dan menjadi kenyataan. Sebagaimana yang disaksikan sekarang ada di antara orang-orang Islam yang suka meniru bulat-bulat apa yang datang dari orang-orang yang bukan Islam,  meskipun perkara-perkara yang ditiru itu bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam. 
Di antara perkara-perkara itu ialah perbuatan setengah perempuan-perempuan Islam yang - selain daripada tidak mematuhi perintah Al-Qur'an menyuruh mereka menutup kepala meliputi belahan leher bajunya - mereka pula membesarkan hiasan kepalanya dengan berbagai-bagai cara yang di antaranya menggunakan rambut-rambut palsu. Ada pula yang menghaluskan bulu keningnya. Ada juga yang berpakaian tetapi mereka seolah-olah bertelanjang kerana nipisnya dan tidak menutup aurat. Ada juga yang berjalan di khalayak ramai dengan cara yang tidak sopan seperti lagak perempuan-perempuan jahat.  Ada pula di antara mereka yang memakai pakaian lelaki dan ada yang berlagak seperti lelaki,  sedang segala perbuatan yang demikian adalah dikutuk oleh Islam.
Selain dari itu, terdapat wanita-wanita yang rela dipamirkan badannya, yang menggunakan pakaian yang sempit dan singkat, mendedahkan aurat, sengaja memperlihatkan bentuk badan, dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan hukum dan kesopanan Islam.
Ada pula di antaranya yang keluar dan rumahnya dengan menggunakan berbagai perhiasan yang menarik perhatian,  dengan menggunakan berjenis-jenis bedak muka dan gincu bibir, serta memakai bau-bauan yang harum pada hal semuanya itu - seperti juga segala perhiasan yang lain - hanya ditentukan dan digalakkan oleh agama supaya dilakukan di rumah khasnya untuk suaminya.
Wanita-wanita Islam dilarang memperlihatkan hiasan tubuhnya kecuali kepada suami dan orang-orang lelaki yang menjadi mahramnya serta orang-orang yang tertentu, seperti yang tersebut di dalam Al-Qur'an al-Karim (Ayat 31, Surah Al-Nur).
Demikian juga halnya perkara-perkara buruk yang berlaku dalam kalangan kaum lelaki.  Ada di antara orang-orang lelaki Islam yang telah hilang langsung perasaan cemburunya terhadap isterinya dan perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya, sehingga dia hampir-hampir bersifat dengan sifat orang "Dayus" yang dikutuk oleh Islam dan diharamkan oleh Allah dari masuk syurga,  seperti sikapnya membiarkan isterinya atau perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya bebas keluar, bebas bercampur gaul dengan orang-orang lelaki yang bukan mahramnya, bebas dipeluk oleh lelaki asing dalam pesta-pesta tari menari, dan sebagainya.
Ada pula lelaki yang berlagak dan berhias seperti perempuan,  dan yang memakai pakaian perempuan. 
Semuanya itu, sama ada yang dilakukan oleh kaum lelaki atau kaum perempuan adalah haram dan dikutuk sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadis-hadisnya, serta menyatakan balasan buruk masing-masing, sehingga ditegaskan ada di antara mereka yang melakukan perkara-perkara buruk itu, bukan sahaja tidak akan masuk syurga,  bahkan tidak dapat mencium baunya, sedang bau syurga boleh didapati dan jarak yang jauh.
Kedua - Akan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam mengenai akidah kepercayaan dan amalan agama,  seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israil, pada hal perpecahan yang demikian bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, dan semua puak yang berpecah itu salah dan sesat belaka, kecuali satu sahaja, iaitu puak yang tetap menurut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. dan bawaan sahabat-sahabatnya, dengan tidak mengurangi,  menokok tambah, atau menyeleweng sedikit pun.
Selain dan itu, menurut tambahan yang terdapat pada hadis Abu Daud yang tersebut, Baginda mengingatkan bahawa akan timbul dalam kalangan umatnya beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit hawa nafsu suka mengurangi,  menokok tambah, atau menyeleweng dari jalan yang sebenar, seperti menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya.
Ingatan yang tegas dan jelas yang diberikan oleh Baginda itu, ialah supaya umatnya tetap menurut jalan pimpinannya dan bawaan sahabat-sahabatnya.


Artikel 1 - SEBENAR-BENAR PERKATAAN DAN SEBAIK-BAIK JALAN PIMPINAN -




SEBENAR-BENAR PERKATAAN DAN SEBAIK-BAIK JALAN PIMPINAN

Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').
"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur'an" (23, Al-Zumar).
" .. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap memimpin ke jalan yang lurus." (52, Al-Syura).
"Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa hidayat pertunjuk dan agama yang benar (Agama Islam) (28, Al-Fath).
Hadis Pertama

1- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ. (مسلم وغيره)
1- Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat". Kemudian Baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".
(Muslim dan Lain-lainnya).
Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:
(1) Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato.
(2) Masa baginda diutus oleh Allah Taala dan saat berlakunya qiamat.
(3) Kitab Allah ialah sebenar-benar perkataan dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w ialah sebaik-baik jalan pimpinan.
(4) Perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama adalah seburuk-buruk perkara.
(5) Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang mukmin.
Hurainnya:
Pertama - Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato:
Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w, manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato,  Rasulullah s.a.w menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.
Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat,  seperti berlakunya qiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera,  memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.
Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum,  kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.
Kedua - Masa Baginda diutus dan saat berlakunya qiamat:
Meskipun masa berlakunya hari qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah,  tetapi Rasulullah s.a.w telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya qiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya qiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku qiamat dengan masa Rasulullah s.a.w diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah dari jari telunjuk.
Ketiga - Kitab Allah Adalah Sebenar-benar Perkataan: 
Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.
Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Kitab Allah,  kitab suci Al-Qur'an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.
Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur'an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur. 
Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang,  Al-Qur'an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.
Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah da kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar,  maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan,  kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.

Pimpinan Rasulullah s.a.w.:
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar,  yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam. 
Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat,  mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.
Keempat - Perkara-perkara Baharu yang diada-adakan dalam Agama: 
Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah,  Sunnah Rasulullah s.a.w, Aathar sahabat dan Ijma Ulama.
Perkara-perkara baharu yang demikian itulah dia bid'ah yang merupakan jalan baharu yang menyeleweng dari jalan yang sebenar, maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan di akhirat kelak dan jalan ke akhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapapun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar dan balasan yang seburuk-buruknya.
Kelima - Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Mukmin:
Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang-orang lain, tetapi Rasulullah s.a.w berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.
Dengan sifat seorang pemimpin negara dan pemimpin agama,  yang membawa perutusan dari Allah Subhanahu wa Taala, Baginda mencurahkan segala daya upaya,  segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat, jauh sekali Baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan dan tidak sekali-kali Baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.
Di antara cara-cara Baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan Baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.


Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w.
2- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (أبو داود) 
 
2 - Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata:  "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? " Setelah itu aku pun berhenti dan menulis,  kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dan mulutku ini melainkan yang benar. "
(Abu Daud)
Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa:
(1) Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda.
(2) Baginda mengizinkan supaya Hadis-hadis ini ditulis.
(3) Segala yang disampaikan oleh Baginda adalah benar. 
(4) Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah anggapan yang tidak berasas.
Huraiannya:
Pertama - Penulisan Hadis-hadis Nabi. 
Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah Taala membawa syariat Islam kepada seluruh umat manusia, Baginda adalah sebagai seorang mahaguru yang diberi tugas mengajar, maka segala yang terbit dari Baginda, sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pun taqrirnya (ketiadaan larangannya)
mengenai perkara-perkara syariat adalah semuanya berupa pelajaran dan tiap-tiap pelajaran itu ada sahaja orang yang menerimanya.
Sebahagian besar dari sahabat-sahabat Baginda menerima hadis-hadis itu dengan menghafaznya dalam dada masing-masing. Dalam pada itu ada juga sahabat-sahabat yang pandai menulis, mereka tulis hadis-hadis itu setelah menerimanya dan Baginda. Tetapi walau bagaimanapun, bagi sahabat-sahabat Nabi,  cara menghafaz hadis-hadis itu lebih teguh dari cara menulisnya, dan lebih terkawal dari kesilapan, kerana tabiat semula jadi orang-orang Arab itu kuat ingatan, tambahan pula mereka bersifat adil disebabkan kekuatan imannya.
Dari usaha sahabat-sahabat Baginda dalam hal penulisan hadis-hadis itu, maka banyaklah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang telah terkumpul dalam tulisan pada masa hayat Baginda.
Mengenal masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda sila lihat lampiran (A).
Kedua - Baginda mengizinkan supaya hadis-hadisnya ditulis.
Penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. itu bukanlah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda secara rahsia,  tetapi dilakukan setelah mereka mendapat kebenaran dari Baginda. Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat keadilan mereka, tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubung dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. khasnya dan dengan perkara-perkara agama amnya, dengan tidak mendapat kebenaran dari Baginda.
Ketiga - Segala yang disampaikan oleh Baginda dari Allah Taala tetap benar.
Apa juga yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak harus diragu-ragukan, kerana semuanya benar dan wajib diturut serta dijadikan pelajaran oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Nabi Muhammad s.a.w.  dengan sifatnya seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk menyampaikan hukum-hukum Islam kepada umat manusia,  sudah tentu dipeliharanya dari perkara-perkara yang boleh menghalangi tugasnya dan yang boleh merosakkan apa yang hendak disampaikannya itu.
Keempat - Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah tidak benar.
Ada anggapan - dari pihak musuh-musuh Islam - bahawa apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. itu tak boleh dipegang dan tak boleh ditulis semuanya, kerana Baginda, kata mereka, ada sifat-sifat yang boleh jadi tidak mesti betul segala yang diterangkan, seperti perasaan marah dan perasaan suka,  sedang perasaan-perasaan ini kerap kali dapat mempengaruhi jiwa seseorang hingga tergelincir dari jalan yang betul. 
Anggapan yang demikian telah timbul pada masa hayat Baginda lagi, dan Baginda sendiri telah menerangkan tentang salahnya anggapan itu, dengan menyuruh menulis apa yang Baginda sampaikan.
Anggapan yang nyata salahnya itu adalah secara langsung menyentuh kedudukan kerasulan Baginda, kerana sebarang keraguan tentang kebenaran kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. bermakna ragu-ragu terhadap kerasulan Baginda.
Ada juga anggapan bahawa kesilapan berlaku pada penyampaian Rasulullah s.a.w. dengan alasan Baginda pernah lupa.
Benar, Baginda pernah lupa, tetapi dengan itu tidak boleh difaham bahawa Baginda boleh berlaku lupa pada segala perkara yang hendak disampaikannya. Lupa yang pernah terjadi ialah lupa yang diperintahkan Baginda melakukannya untuk menimbulkan sesuatu hukum, seperti lupa Baginda dalam sembahyang dari membaca "Tahiyyat Awal" lalu menerbitkan hukum "Sujud Sahwi" secara amali.
Sayugia diingat, bahawa perkara yang tidak harus Rasulullah s.a.w. berlaku silap padanya ialah perkara-perkara yang dibawanya dari Allah Taala. Ada pun perkara-perkara keduniaan,  atau pun perkara-perkara kehidupan sehari-hari, boleh jadi Baginda berlaku silap padanya dan boleh jadi Baginda tidak mengetahuinya, sebagaimana Baginda sendiri pernah bersabda, maksudnya: "Kamu lebih mengetahui mengenai perkara-perkara keduniaan kamu."
"Perkara-perkara keduniaan" itu ialah perkara-perkara yang dapat diketahui oleh manusia dengan kajian sendiri, dengan tidak berdasarkan wahyu.  Mengenai perkara-perkara yang demikian, terpulanglah kepada seseorang membuat kajian sendiri, atau mempelajari sendiri dengan apa cara dan sejauh mana pun, asalkan tidak bertentang dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang telah sabit.
Tentang sabda Baginda: "Kamu lebih mengetahui mengenal perkara perkara keduniaan kamu" itu - maka itu adalah untuk mengajar manusia bahawa apa yang mereka gunakan dan cara-cara perusahaan dan alat-alat pertukangan terserahlah kepada pengetahuan dan pengalaman mereka, dan
Tuhan tidak menyekat atau melarang mereka menjalankannya selagi hukum-hukum syarak tidak dilanggar, dan akhlak yang mulia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
Tugas Rasulullah s.a.w. tidaklah seperti tugas guru-guru sekolah dan pakar-pakar perusahaan dan perindustrian.  Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan untuk mengajar satu persatu mengenal ilmu pengetahuan yang berhubung dengan cara-cara mengambil faedah dan alam langit dan bumi serta segala isinya untuk kehidupan dunia.  Kalau terdapat dalam apa yang disampaikan mengenai yang demikian maka itu hanyalah untuk dijadikan bukti yang menunjukkan wujudnya Allah Taala dan kekuasaanNya serta kebijaksanaan dan kemurahanNya.
Ada pun ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan angkasa lepas meliputi matahari, bulan dan bintang;  dan yang berhubung dengan bumi dan khazanah-khazanah yang terpendam di dalamnya; demikian juga ilmu pengetahuan yang bersabit dengan pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya, maka semuanya itu tidaklah termasuk dalam tugas Rasulullah s.a.w. untuk menerangkan satu persatu bahkan terserahlah kepada manusia mencari dan menyelidiknya, kerana Tuhan telah jadikan manusia berakal fikiran serta memberikannya tenaga dan usaha ikhtiar untuk mencapai pengetahuan dan kepandaian bagi mendapat kesempurnaan hidupnya.
Lampiran (A):
Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.:
Mengenai masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda, ada beberapa hadis yang melarang menulisnya, dan ada pula beberapa hadis yang mengizinkan. 
Di antara hadis-hadis yang melarang itu ialah:
Pertama - Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu menulis (hadis-hadis) dariku dan (dengan yang demikian) sesiapa yang telah menulis dariku selain dari Al-Qur'an, maka hendaklah ia memadamnya .."
Kedua - Hadis dari Abu Said Al-Khudri juga, katanya: (Pada suatu hari) kami sedang duduk menulis apa yang kami dengar dari Rasulullah s.a.w., lalu Baginda keluar mendapatkan kami sambil bertanya: "Apa yang kamu tulis itu?" Kami menjawab:  "(Kami menulis) Apa yang telah kami dengar dari Rasulullah". (Mendengar jawapan kami itu) Baginda bersabda, maksudnya: "Patutkah kamu menulis (sesuatu yang lain) bersama-sama dengan kitab Allah (Al-Qur'an)? Tulislah kitab Allah itu sahaja dan bersihkanlah dia (dari yang lainnya)." Maka kami pun mengumpulkan (hadis-hadis Nabi) yang telah kami tulis itu pada satu tanah lapang, kemudian kami
membakarnya. Setelah itu kami bertanya kepada Baginda dengan berkata:  "Ya Rasulullah!  bolehkah kami menyampaikan hadis-hadis yang kami dengar dari tuan kepada orang lain?" "boleh" jawab Baginda.
Di antara hadis-hadis yang mengizinkan pula ialah:
Pertama - Hadis (Nombor 2) yang tersebut dalam bab ini.
Kedua - Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Abu Hurairah, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. beroleh limpah kurnia Allah menguasai tanah suci Makkah al-Mukaramah, tampillah Baginda berpidato kepada orang ramai .. lalu bangun Abu Shah sambil berkata:  "Bolehkah tuan (membenarkan sesiapa) menulis untukku (apa yang tuan sabdakan itu) Ya Rasulullah? " Baginda menjawab,  maksudnya: "Tulislah kamu untuk Abu Shah."
Pendapat Sahabat-sahabat Nabi: 
Dengan adanya hadis-hadis yang melarang dan mengizinkan itu, maka sahabat-sahabat Nabi tidak sekata mengenai masalah penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., tetapi kebanyakannya mengharuskan dan telah pun menulisnya.

Pendapat Alim Ulama':
Alim Ulama' dan Ahli Hadis telah menyesuaikan di antara hadis-hadis yang melarang dan yang mengizinkan penulisan hadis-hadis Nabi itu dengan beberapa cara dan alasan:
Pertama - Larangan itu adalah khas mengenai waktu turunnya Al-Qur'an kerana dibimbangkan Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya, dan hadis-hadis yang mengizinkan itu pula adalah untuk keadaan yang tidak dibimbangkan.
Kedua - Larangan itu adalah khas mengenal penulisan hadis bersama-sama Al-Qur'an pada satu lembaran,  kerana biasanya mereka mendengar hadis yang mentafsirkan sesuatu ayat Qur'an maka dengan itu harus mereka akan terlangsung menulisnya bersama-sama kandungan ayat itu, lalu mereka dilarang dari melakukan yang demikian kerana ditakuti kesamaran. Tentang hadis-hadis yang mengizinkan pula maka itu hanyalah untuk ditulis dalam lembaran yang berasingan yang tidak mengandungi sesuatu dari Al-Qur'an.
Ketiga - Bahawa larangan itu adalah khas mengenai penulisan Wahyu (Al-Qur'an) yang biasanya mereka tulis dalam lembaran-lembaran surat untuk disimpan di rumah Nabi s.a.w.; oleh itu, kalaulah mereka diharuskan menulis hadis nescaya Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya. Tetapi selain dari itu adalah diizinkan.
Keempat - Bahawa larangan itu adalah bagi orang yang dipercayai terselamat dari lupa, dan dipercayai tentang kekuatan ingatannya menghafaz apa yang didengarnya, serta ditakuti ia akan bergantung bulat-bulat kepada tulisan apabila ia menulis.  Sebaliknya diizinkan bagi orang yang ditakuti lupanya.
Kelima - Hadis-hadis larangan itu mungkin sebahagian dari hadis-hadis yang dimansuhkan oleh hadis-hadis yang lain; boleh jadi pada mulanya Rasulullah s.a.w. melarang menulis sabda-sabdanya, kemudian Baginda memandang patut ditulis kerana diketahui bahawa hadis-hadis makin sehari bertambah jumlahnya dan tak dapat dihafaz.

Ainul Yakin atau Hakkul Yakin

Di detikkan hati kita untuk sedar, untuk belajar, untuk tahu untuk jelas, untuk menilai, untuk pulangkan...
kembalikan

Tapi andai kita berpatah semula,...lupa pada faham dan detik hati yg Allah beri... kita bimbang detik hati ..petunjuk itu...ketukan itu hanya sekali ...dan xakan berlaku lagi..

hati2....jaga2....waspada...ingat2

--
Sent from myMail app for Android

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...