Pelawat Blog

Sultan Pahang larang sertai Bersih

ROMPIN - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menitahkan rakyat di negeri Pahang supaya tidak menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Baginda bertitah, perhimpunan itu membawa banyak keburukan daripada kebaikan dan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat

“Sebaliknya ia akan menyusahkan rakyat yang selama ini menjalani kehidupan aman dan tenteram.

“Saya merayu kepada rakyat jelata supaya tidak campur tangan dalam hal Bersih ini. Bersih atau kotor ia demonstrasi yang sememangnya tidak bersih,” titah baginda
Baginda bertitah demikian selepas merasmikan bangunan pejabat stesen Institut Pembangunan Penyelidikan Pertanian (Mardi) di Muadzam Shah di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Johari Baharom.

Tegas baginda, perhimpunan itu sepatutnya tidak diadakan memandangkan negara sudah mencapai kemerdekaan sejak 54 tahun lalu.

“Saya secara peribadinya menentang perkara ini dan kita semua harus tentang habis-habisan,” titah baginda.

Baginda juga mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam perhimpunan itu.

Tindakan polis guna Ordinan Darurat langkah pencegahan: PM

PEKAN: Tindakan polis menahan beberapa individu di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana dipercayai terbabit dalam anasir subversif adalah langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih serius berlaku, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata tindakan itu bertujuan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negara dikekalkan.
"Ini sebagai langkah preventif, pencegahan lebih baik daripada berubat, apa-apa polis buat ini sebagai satu langkah pencegahan daripada sesuatu yang lebih serius berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, mengikut Ordinan Darurat yang pertama kali digunakan terhadap penyokong perhimpunan haram 9 Julai ini.

Najib berkata, beliau yakin polis memahami segala implikasi dalam mengambil sebarang tindakan terhadap penyokong perhimpunan itu.

"Ada sebahagian daripada rakyat yang mahukan kita (kerajaan) bertindak dengan menggunakan apa juga kuasa yang ada pada kita tetapi saya percaya pihak polis memahami segala implikasi kalau mereka nak mengambil apa-apa tindakan, yang penting sesuatu tindakan itu mendapat sokongan daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata, penganjuran perhimpunan haram itu mengundang pelbagai eksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.
"Ada beberapa elemen bila ada demonstrasi seperti ini, ada orang nak tumpang semangkuk jadi mungkin ada mereka yang berfahaman komunis, ada mereka yang kaki pengacau, mungkin ada mereka yang suka berhimpun sebab suka pada keadaan yang liar dan keadaan yang boleh menaikkan semangat mereka dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu juga cuba menggambarkan kerajaan bersifat autokrasi dan kuku besi serta tidak liberal kerana menolak perbuatan yang mereka ingin lakukan.

"Mereka akan menggunakan media antarabangsa untuk menggambarkan secara negatif kerajaan Malaysia... kalau sekiranya mereka boleh buat provokasi pada kita sehinggakan kita terpaksa menggunakan sesuatu yang mereka boleh gambarkan sebagai menggunakan kezaliman terhadap mereka.

"Kebebasan untuk berkumpul ada syarat sebab kita mesti jaga keamanan dan ketenteraman awam. Kalau kita buat terlalu bebas nanti negara kita ini akan menjurus pada keadaan yang huru-hara dan tidak menentu yang tidak menguntungkan sesiapa sama sekali," katanya. - BERNAMA
Komen Anda
Nama :
Emel :
Komen :
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

maska matlazin maska
hanya polis dan tentera yang tahu menjaga keamanan negara rakyat mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan sokongan n mandat rakyat jangan abaikan.

Polis terima 2,193 laporan berkaitan BERSIH: Bakri Zinin

KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 2,193 laporan terhadap perhimpunan haram BERSIH yang dirancang beberapa pihak pada 9 Julai ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi, beliau berkata daripada jumlah itu, polis membuka 125 kertas siasatan sejak 6 Jun lalu.

-Berita Harian

GPMS kecewa PAS tunduk dengan desakan DAP


KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku amat kecewa dengan perubahan PAS yang dilihat semakin tunduk kepada permainan politik DAP sehingga dikhuatiri akan menggadaikan hak dan keistimewaan bangsa Melayu di negara ini pada masa depan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, berkata konsep negara berkebajikan yang dilaungkan PAS pada muktamar tahunan ke-57 menggantikan dasar perjuangan mereka selama ini untuk menubuhkan negara Islam, sangat mencemaskan kerana percaya ia akan ditunjangi ideologi DAP.

Katanya, ini berikutan sudah terbukti dalam banyak isu semasa, PAS sering mengambil pendirian hanya akur kepada desakan dan juga dominasi DAP semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya.

Malah, beliau berkata, contoh paling jelas ialah PAS terpaksa bersikap tutup mulut hingga seolah-olah merestui pelbagai tindakan kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP yang menganaktiri dan merugikan orang Melayu di negeri itu.

“GPMS sudah tidak boleh berdiam diri lagi kerana apa dilakukan PAS adalah satu fatamorgana yang mesti dihentikan segera. Memang GPMS melihat DAP jelas akan menunjangi konsep negara berkebajikan ini jika dilaksanakan, sekali gus mendapat keuntungan daripada semua itu.

“Justeru, GPMS merayu PAS supaya berhati-hati dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan supaya tidak diambil kesempatan oleh DAP. Ini kerana PAS dan DAP dalam pakatan pembangkang umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Bagaimanapun, GPMS bimbang kepemimpinan PAS di bawah teraju baru akan semakin memburukkan keadaan kerana dilihat tidak memiliki kekuatan dalam pakatan pembangkang untuk mempertahan atau memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Jais menegaskan, GPMS adalah NGO yang non partisan dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik, sebaliknya bersuara serta bertindak demi mempertahankan kepentingan hak dan keistimewaan orang Melayu serta agama Islam di negara ini.

“Oleh itu, saya hendak meminta kepemimpinan PAS memperincikan apa akan terjadi kepada orang Melayu dalam konsep negara berkebajikan yang mereka bawa ini. Ini kerana dalam keadaan sekarang pun, kaum lain sudah mula mempertikaikan hak dan keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu.

“Diikutkan sepatutnya jika konsep negara berkebajikan ini dilaksanakan oleh PAS, orang Melayu yang wajar mendapat pelbagai kelebihan kerana kita masih terkebelakang dalam pelbagai aspek. Bagaimanapun, saya bimbang dan skeptikal ia akan memperjuangkan hak serta keistimewaan orang Melayu kerana DAP yang cukup rasis sudah tentu menuntut bukan-bukan.

“Ini dapat dilihat daripada sikap DAP yang tidak berpuas hati walaupun kerajaan sudah berusaha berlaku adil kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Kita bukan menafikan hak kaum lain di negara ini, cuma janganlah membawa satu ideologi baru semata-mata atas kehendak politik sehingga akhirnya segala kepentingan orang Melayu tergadai,” katanya.

sumber; berita harian

Plus Ronda Edar Borang Kaji Selidik

KUALA LUMPUR: PLUS Expressways Bhd menaik taraf perkhidmatan mereka melalui penjenamaan semula PlusRonda 1Malaysia dengan melancarkan borang kaji selidik perkhidmatan PlusRonda, semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata pengguna lebuh raya kendalian PLUS Expressways akan diberi borang kaji selidik berkenaan selepas menerima perkhidmatan PlusRonda 1Malaysia apabila mereka berdepan masalah sepanjang pemanduan.
“Bermula hari ini (semalam) kami bekalkan sejumlah borang terbabit kepada pasukan PlusRonda untuk mendapatkan maklum balas pengguna lebuh raya sama ada pujian atau rungutan.
“Kita juga akan muat turun borang berkenaan di internet melalui laman web PLUS bagi kemudahan pengguna memberi maklum balas untuk diambil tindakan susulan,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat operasi PlusRonda 1Malaysia, di sini semalam.

Noorizah berkata, penjenamaan semula ini juga sejajar dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertujuan memberi keutamaan kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini, melalui dua kaedah terdahulu iaitu panggilan telefon dan e-mel, PLUS menerima 52 rungutan dan 46 pujian terhadap perkhidmatan mereka sepanjang Januari 2010 hingga Mei lalu.

Katanya, kaedah terbaru ini membolehkan PLUS memperbaiki sistem perkhidmatan dengan cekap kerana memperoleh maklum balas secara terus daripada pengguna. Secara keseluruhan, PLUS mempunyai 358 petugas PlusRonda 1Malaysia di tiga wilayah dengan 126 kenderaan dan 129 pasukan.

Sementara itu, beliau berkata PLUS juga memperuntukkan RM700 juta setahun, khusus bagi kepentingan lebuh raya kendalian mereka.

“Daripada jumlah itu, RM500 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan RM200 juta bagi naik taraf infrastruktur dan perkhidmatan lebuh raya,” katanya.

sumber: berita harian


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...